Jumaat, 1 Mei 2009

Malaysia Boleh !

Tersentuh hati aku bila membaca satu catatan di dalam blog "Kedahlanie" tadi. Kisah tentang seorang bapa yang sanggup "menjatuhkan" harga dirinya semata-mata untuk mendapatkan setin susu untuk anak yang berumur 2 tahun. Bapa itu sudah kehabisan ikhtiar untuk mendapatkan wang bagi membeli susu anaknya kerana sudah kehabisan wang belanja. Tak dapat aku bayangkan bagaimanakah perasaan bapa itu untuk meminta tolong kepada orang asing yang lansung tidak dia sendiri kenal. Cuba kita bayangkan jika kita sendiri mengalami perkara yang sama.

Bila bercakap bab susah ni, aku sendiri dibesarkan dalam dunia yang penuh dengan keperitan hidup. Bapa aku cuma seorang penoreh getah, manakala mak aku pulak tak mampu untuk menolong kerana dia ada penyakit lemah jantung.

Seusia 10 tahun aku dah "mangli" dengan motong getah ni. Bukan setakat toreh biasa, tetapi pakai tangga kayu silang yang dibuat daripada kayu Pokok Mengkerai. Kadang-kadang pakai pisau yang hulunya disambung panjang kerana "daun" toreh tu dan tinggi. Kalau nak kira, dah peringkat PhD dah aku motong ni!

Pendapatan harian ayah aku waktu tu cuma RM5 sehari. Wang itulah yang nak bagi aku belanja sekolah, wang itulah nak beli beras, gula, kopi, wang itu jugalah nak bagi kakak dan adik aku sekolah. Pada masa tu sekati getah cuma 3 kupang. Pada waktu itu, aku sekolah sesi petang. Bangun pagi ke kebun untuk tolong ayah motong dulu. Pukul 10.30 bawa sekerap jual dekat jalan kampung Jerai. Kalau timbang 8 kati, kena potong sekati pasai basah. Pulak....... Itulah yang aku ambil sikit buat belanja. Biasanya seringgit kalau naik bas kerana tambang bas 2 kupang 5 duit. Pergi balik 5 kupang. Belanja nanti 5 kupang. Biasanya tak sempat pun nak makan tengah hari kerana balik jual sekerap tu dah nak ke sekolah. Kalau larat, atau tertinggal bas kayuh basikal lah jawabnya. Dari rumah aku nak ke pekan Jeniang tu dalam ada 6 batu ( lebih kurang 9 kilometer).

Bab makan, tak ada menu khas. Apa yang penting perut kena isi. Sarapan pagi, kalau ada pisang awak yang mengkal tu, direbus, cicah dengan nyor kukur. Pendek kata apa yang ada saja la. Pucuk Pokok Gelenggang Kecil yang biasanya tumbuh meliar di tepi sungai, lembu pun tak makan, pun jadi sayur. Ubi keladi Kemahang yang batangnya gatal nak makan, pun boleh direbus. Apa saja yang tumbuh disekeliling rumah yang tak memudaratkan, maka boleh la dibuat sayur. Kalau hari raya la best sikit, sebab boleh beli susu tin (susu pekat manis tu) buat cicah ketupat dengan bancuh air kopi susu! Hari raya la katakan.......

Waktu malam, guna pelita minyak tanah saja. Tapi waktu tu tak ada pun nak kisah pasai jelaga ka nanti batuk ka. Seingat aku, kalau batuk kuat, ambil minyak tanah daripada sumbu pelita tu, kemudian sapu dekat kerongkong, insya-Allah nanti berkuranglah batuknya.

Tapi harus ingat pada waktu itu awal tahun 80an, dan persekitaran aku di kampung. Cerita yang aku baca tadi tu dekat Bagan Ajam, Pulau Pinang. Dalam pekan. Bapa budak tu kerjanya cuci kontena. Berapa sangat la upah yang dapat. Sekarang ni kerja apa yang boleh dia nak buat, kalau nak kerja dekat stesyen minyak pun Bangla penuh, berlagak jadi taukey lagi, nak kerja dekat kilang, Veitnam penuh, nak kerja di ladang kelapa sawit, Myanmar "konker", nak kerja "kontrak" Indon meremut. Nak berniaga kecil-kecilan, orang Acheh merata. Jadi mana dia nak kerja?....... Kita seharusnya berterima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana atas daya usaha merekalah maka sampai tak ketahuan bangsa apa yang ada dekat Malaysia sekarang ni. Semua peluang pekerjaan, baik yang kecil-kecilan atau pun industri malah perniagaan kecil-kecilan pun semua dapat dekat "makhluk asing" ni.

Terima kasih Pak Lah, terima kasih Najib...... Jasamu tetap dikenang!

Tiada ulasan: