Ahad, 14 Februari 2010

Sudah Suratan

Jam lebih kurang pukul 7.15 petang Rabu, 10 Februari lalu, handphone aku berderang. Along lantas mencapainya. Tengok pada paparan skrin, nama Abang Wan. "Pak Long telefon ni', katanya. Terdetik difikiran aku, tentu ada sesuatu yang tak kena, kerana selama ini tak pernah abang ipar aku telefon jika waktu macam tu. Di hunjung talian suaranya sebak tertahan, berbaur sedih yang amat sangat. Lama juga untuk menuturkan butir bicara. "Adik Muhammad ada di hospital la ni. Dalam ICU. Keadaannya kritikal. Doktor tak jamin apa-apa. Mungkin untuk selamat adalah tipis". Itulah butir bicara yang aku dapat tangkap. Aku tergamam seketika. Baru 2 hari lepas, semasa kami dok bersembang dalam YM, tanya khabarnya. Baru-baru ni Muhammad tak dapat buang air besar. Mungkin ada masalah penghadaman. Lepas tu dah baik dah.

Hati aku dah tak sedap. Kebetulan pula sejak dua, tiga hari ni mata sebelah kiri asyik berkedip-kedip. Bukanya percaya, tetapi secara kebetulan. Isteri aku dah biasa dengan situasi macam ni. Tak payah nak cakap, dah diambilnya beg pakaian. Buat persediaan jika hal-hal yang tidak diduga berlaku.

Hari Khamis, 11 Februari 2010 jam lebih kurang 12.45 tengah hari, sekali lagi aku menerima panggilan telefon. Abang memaklumkan bahawa adik Muhammad telah kembali ke pangkuanNya. Terus aku maklum kepada isteri dan anak-anak supaya bersiap sedia untuk balik ke Kedah.

Jam 8.30 malam, kami sampai di Kampung Ganding, Alor Setar. Suasana pilu menyelubungi rumah mertua kakak aku. "Kita kebumikan Muhammad bersebelahan dengan abang kembarnya di sini. Mudah la kalau nak ziarah. Satu tempat saja", kata ayah abang aku.

Wajah kakak dan abang aku nampak tenang dan tabah. Mereka redha dengan ketentuan ini. Dah hampir 4 tahun adik Muhammad "dipinjamkan" kepada keluarga kakak aku. Hampir 4 tahun jugalah Muhammad hidup dengan penuh derita dan sengsara. Mungin inilah ketentuan Yang Maha Berkuasa untuk menamatkan segalanya.

Semoga adik Muhammad Ammar bin Wan Roshidi aman dan ditempatkan bersama-sama roh mereka yang terpilih.

Isnin, 8 Februari 2010

Nafsu Manusia

Balik kampung cuti sekolah bulan 12 lepas, aku berkesempatan pergi mengail di kampung tumpah darah aku, Kampung Batu Hampar, Merbok. Ini juga adalah atas permintaan anak sulung aku yang dah lama 'ketagih' nak mengail. memang dah lama sangat kami tak pergi mengail pun. Di Selangor ni dekat mana la ni nak pergi mengail? Dulu ada la juga dekat SKC tu, tapi sekarang ni ikan pun tak dak. Lagi satu kawasan tu pun takut juga nak pergi tak ketahuan, orang selalu kena rompak. Tak kira siang ka, malam ka. baru-baru ni ada kawan kepada kawan aku, baru keluaq HILUX, bawa pi kebun, tengah jalan, tahan dek orang turus bawa lari. Putih mata la.....

Kata orang tua aku yang memang tunggu kami balik nak pi mengail, mungkin boleh tahan 'taut' ( tajur) sebab padi dah masak. Air orang masukkan ke dalam tali air. Jadi, mungkin air banyak. Bukan main suka lagi along dengaq! Senyum sampai ke telinga.

Bila sampai saja, ada la takat buku lali airnya! Orang dah ambik padi. La ni bukannya lama sangat nak ambik, sehari dah berelung-relung mesin tu ambik. Masa kami sampai tu, tak nampak dah pun kelibat mesin ambik padi tu.

Dok tengah siap mata kail tu, mai la Mak Ndak Som. Dia kata ikan tu ada tapi dah tak banyak la. Macam-macam cara orang ambik ikan tu tambahnya lagi. Bila air banyak, pakai pukat 3 lapis, tarik dari tebing. Lepas tu 'tembak' pakai serampang, yang lagi dahsyat tu, ada yang pakai 'karan'. Bukan orang dari tempat tu saja, merata tempat yang datangnya. dah berguni depa semua angkut. Mak Ndak Som ni memang tu la cara nak cari lauk nak makan keluarga dia. Pi mengail petang untuk malan tengah hari esok. Orang susah, mana la nak mampu beli ikan laut ni.

Tak sempat nak besaq ikan-ikan tu. Tambahan pula la ni tanaman padi tu 5 kali 2 tahun. Ada lebih kurang 4 bulan setengah saja ikan nak bertelur dan membesaq. Bila mai orang tanam padi, pakai racun pula. Macam-macam jenis racun yang namanya aku sendiri tak tau nak sebut. Kalau ikan tu dapat membesaq 2 jari pun dah kira bertuah dah sampai masuk musim lain.

Apa lagi yang kita nak tinggal untuk anak cucu kita nanti. Mungkin 10 hingga 15 tahun nanti, ikan keli dengan puyu dah tak dak lagi dekat bendang di Batu Hampar tu, macam ikan sepat benua yang dah pupus.