Rabu, 13 Disember 2017

Orang Kita Nak Berniaga

Bulan November tahun lalu aku upah seorang tukang rumah untuk betulkan perabung rumah di Sungai Petani ni. Perabung bocor kerana pelapik tar telah dimamah usia dan mereput. Berlaku lelehan air dan turun ke bahagian 'plaster ceiling'. Nampak bertompok macam 'air liur basi' saja. 

     Setelah hampir setahun, perkara sama berulang kembali. Jika dahulu, pelapik tersebut menggunakan lapisan tar, tetapi telah ditukar dengan zink dengan harapan lebih tahan lama. Aku ikut sahaja kata tukang rumah tu. Tetapi, tak sampai dua tahun dah bocor semula. 

     Atas dasar ingin tolong 'orang kita' berniaga, aku panggil semula tukang rumah tersebut. Niat bukannya nak komplen atau marah pun. Minta dia tengok semula. Mungkin kerana keadaan cuaca atau angin kuat yang melanda baru-baru ni di kawasan sebelah utara ni yang menyebabkan berlaku kebocoran tersebut. Nak minta tolong tengok semula dan betulkan. 

     Kali pertama telefon, janji nak datang petang. Kita pun tunggu ... dari petang membawa ke malam, langsung tak nampak muka. Sebelah malam telefon, katanya pagi pulak. Sepagi tunggu ... sampai ke petang tak datang-datang. Dalam hati dah mula rasa ...dia ni 'nak makan sekali' saja ni ... 

     Dah 3 hari buang masa, maka aku pun panggil orang lain. Daripada ilmu yang ada pada tukang baharu ni, memang tukang yang pertama tu buat ada salahnya. Tak semua tukang boleh bertukang. Tak semua tukang ada ilmu tentang semua perkara nak buat rumah ni. Kadang-kadang main berani buat saja. Yang jadi masalahnya ialah kita yang punya rumah. Dah bocor dan habis siling rumah berpeta. 

     Maka, bermodal lainlah aku untuk membetulkan semula hasil kerja tukang yang pertama tadi. 

     Sebagai pengajarannya, kita juga perlu ada ilmu dan belajarlah sedikit sebanyak sebelum kita buat sesuatu. Tak salah kalau kita tanya orang benda yang kita tak tahu. Yang salahnya ialah kita takut nak tanya.