Rabu, 31 Disember 2008

Tahun Baru

Sebentar lagi jam akan menunjukkan pukul 12.00 malam. Ini bermaksud, telah bertukarlah angka pada digit 'sa' daripada 8 kepada 9 apabila kita menulis tahun nanti. Ini juga bermaksud semakin pendek umur kita semua. Mungkin ada yang telah 'berkemas-kemas', atau mungkin ada di kalangan kita yang telah 'menyiapkan 'kain-baju' dan sedang menanti masa untuk 'dijemput' entah bila. Maka, entah apalah 'bekalan' yang kita ada ini mencukupi atau sekadar selangkah sahaja. Itu semua hanyalah Allah dan kita sahaja yang mengetahui.

Hari ini juga kita telah 3 hari berada di dalam tahun 1430 hijrah. Macam mana kita kira, macam mana kita darab, macam mana kita hitung pun, umur kita tak akan jadi panjang. Yang pastinya, umur kita semakin pendek. Semakin banyak pula tanggungjawab yang perlu kita pikul. Entah bila hendak selesai, bagaimana hendak selesai, satu soalan yang pastinya tidak ada jawapan.

Bila tiba tahun baru, macam-macam azam kita buat, yang belum tentu tercapai atau tidaknya. Azam itu penting, kata seorang kaunselor. Ianya umpama 'target' semasa menembak. Kalau tak ada target, peluru kosong pun boleh tembak. Kita dengar bunyi sahaja la.

Sepanjang tahun 2008 ni, banyak peristiwa yang berlaku mewarnai kehidupan kita. Semua itu adalah satu sessi 'persekolahan', yang mengajar erti kehidupan untuk kita menjadi lebih matang dalam merencana masa depan kita.

Hidup kita umpama sekumtum bunga. Semasa kudup, kita dijaga oleh tampuk supaya tidak dirosakkan oleh serangga. Apabila kita kembang, masa itulah seharusnya kita beringat yang kita sedang mencapai puncak kehidupan, yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Serangga dan kumbang menjadi musuh. Ada yang baik dan ada yang sebaliknya. Apabila hujung hayat, kita akan layu, dan tidak menarik perhatian lagi, dan akhirnya gugur ke bumi.

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430 dan Tahun masehi 2009. Semoga pada tahun ini segala amalan kita lebih berkualiti, lebih banyak diterima Allah dan dihindarkan kita daripada malapetaka. Insya-Allah.

Ahad, 21 Disember 2008

Hati 'Orang Tua'


Semasa balik kampung tempoh hari, kami sekeluarga berkesempatan memancing di atas jambatan ke Pulau Bunting, Kuala Sedaka, dekat Yan. Panjang juga jambatannya. Dari satu segi, aku tak dapat la pulak bayangkan apakah rasionalnya buat jambatan itu. Kalau dilihat daripada reka bentuk dan saiznya, banyak juga lah duit yang telah dibelanjakan untuk membina jambatan itu. Jika matlamatnya untuk pelancongan, apalah sangat yang ada dekat pulau sebelah sana tu. Kalau pun ia, mengapa buat separuh jalan saja? Jalan nak ke jambatan itu sendiri pun tak ada! Puas juga la bertanya orang setempat, barulah dapat cari jalan ke sana. Ikut batas 'ban' kata orang situ. Tapi apa yang pastinya, kerajaan Kedah pada masa itu mungkin banyak sangat duit, lalu buang la setengah dalam laut!

Sebelum aku balik ke kampung lagi, orang tua aku dah 'hin' nak memancing dekat sana. Isteri aku secara tak sengaja terpandang jambatan dari udara semasa dalam penerbangan ke Alor Setar suatu ketika dulu. Selidik punya selidik, memang ada jambatan, tetapi dalam google map tak ada lagi walaupun up-date edisi terbaru 2008.

Orang tua aku memang hobi dia memancing. 'Orang bendang' la katakan, tetapi selalu memancing dekat paya,bendang dan sungai saja. Dulu sekali aku ada bawa dia pergi memancing dekat Teluk Batik, Perak. Sampai pukul 3.00 pagi sanggup tunggu dekat tepi pantai! Aku layan saja. Bila aku balik baru ni, dah siap beli kekili dan joran baru! Sakan juga. Dah minat dia.

Semasa memancing tu, aku nampak dari raut wajahnya, dia cukup seronok. Dia begitu tekun memancing, memasang umpan dan menunggu umpan diragut ikan. Bila balik pun, masih bercerita tentang memancing tu. Aku adalah buatkan beberapa tali perambut untuknya. Dia bukan main berminat nak belajar hendak buat sendiri. Begitu tekun dan rajin bertanya itu dan ini. Aku rasa itulah saat yang beliau sungguh teruja. Selama ini mungkin tidak ada seauatu yang menarik minatnya sementelah pula ibu aku telah lama kembali menemui-Nya. Susah dan senangnya hanya dia sendiri yang tahu.

Walau bagaimana pun aku sangat gembira dan puas hati kerana aku dapat menggembirakan hati orang tua aku. Apalah sangat.......... pergi memancing. Mungkin tak seberapa jika dibandingkan segala apa yang telah beliau lakukan sebagai seorang ayah kepada aku. Semoga Allah panjangkan umur, terima segala ibadahnya, sihatkan tubuh badan ayah aku. Insya-Allah.

Rabu, 17 Disember 2008

Apa Khabar Orang Kampung?

Minggu lepas, aku berpeluang menghabiskan cuti selama 4 hari di kampung halaman. Balik kampung semperna hari raya aidiladha. Sebelah utara sekarang ini mungkin sedang kamarau. Semasa aku balik tempoh hari, panas sangat terik. membahangnya semacam saja jika dibandingkan dengan panas di tempat aku sekarang ini.

Lima, enam bulan yang lalu aku pasti, ramai orang yang perasan tentang harga getah yang melabung tinggi. Kalau tidak silap, mencecah hingga RM4 lebih sekilogram bagi getah beku atau 'skrap'. Pada masa itu, macam-macam cerita tentang penoreh getah ini. Ada yang kita dengar boleh beli kereta 'cash', maklumlah pendapatan mencecah 2 kali ganda gaji orang berkelulusan diploma sebulan.

Sejak harga minyak jatuh kebelakangan ni, harga getah juga turut menjunam. Memang ada kaitan antara semua barang ini. Minyak naik, getah naik harga, kelapa sawit naik harga, emas naik harga, dan yang paling banyk sekali naik dan terus menerus naik hingga ke hari ini ialah barang-barang keperluan. Baru semalam beli susu tepung harganya RM19.80, besoknya tengok dah naik RM22.50! Yang syoknya, bila harga minyak turun, semua hasil mahsul orang-orang kampung cari makan ni pun turut menjunam harganya. Bukan turun sikit grafnya, dah berjela-jela atas lantai keluknya! Yang tak turun-turun ialah harga barang-barang makanan dan keperluan. Bayangkan, harga ikan kembung pelaling ( tempat aku di Kedah panggil ikan 'temenung' ) boleh mencecah RM7 sekilo. Dulu pakai masuk dalam pinggan. 2 pinggan RM3 sahaja. Ikan bukan main segar lagi, masih hijau dan berlendir baru naik dari laut.

Suatu pagi, ayah aku ni nak kutip 'skrap'. Aku kata tak payahlah. Nanti aku pergi ke pekan Jeniang,belanja barang-barang apa yang patut. Katanya, skrap tak boleh lepa sekarang ni. Kalau kita lambat kutip, 'orang' tolong kutip. Itu lagi satu masalah dekat kampung sekarang ni. Pantang ada benda yang boleh buat duit sikit, pasti 'pindah milik' dalam masa semalam sahaja. Biasanya kalau 2 hari menoreh macam tu, dapatlah lebih kurang RM90.

Pagi itu, ayah aku balik dengan muka yang sugul. Katanya dapat RM24 sahaja hasil jualan getah tadi! Daripada harga RM3.80 jatuh ke RM0.80 sekilogram. Berapa punya banyak lari! Kalau dulu sekali jual getah, dapatlah belanja barang dapur untuk seminggu. Lepaslah beras sekampit 10 kg, gula, kopinya. Sekarang, beras cap rambutan sekampit pun tak lepas sekali jual getah! Siapa kata hidup di kampung belanja murah.............

Bayangkan keadaan ini yang nak ditanggung oleh orang-orang kampung. Tidak lama lagi sekolah nak dibuka. Buku dan baju sekolah nak dibeli. Kata yuran dah tak ada, tapi kalau hari pertama sekolah tu, 'Bayaran Tambahan' ada juga. Lebih mahal daripada yuran dulu lagi. Mulut anak-anak dan isteri yang tak sekolah juga kena suap. Macam itulah hidup kita hari ni.........

Cermin Diri

Selepas solat zohor semalam ada gotong-royong memasak juadah untuk majlis doa selamat di dapur suaru. Seperti biasa, Pak Hashimlah orang yang paling sibuk dalam situasi macam ini, mentelah pula ini adalah majlis kesyukuran dia. Malamnya ada kuliah agama Ustaz Omar. Biasanya kalau kuliah Ustaz Omar ni ramai orang.

Semasa menunggu nasi masak, sempat dia cerita yang majlis doa selamat ini diadakan kerana sejak akhir-akhir ini banyak dangat nikmat yang Allah beri kepadanya. Semua yang dia rancang dapat berjalan dengan sempurna dan lancar. Anaknya yang bertugas di Sarawak manakala menantunya di Pahang telah dapat bertukar ke Kuantan, anaknya yang nombor dua telah sembuh sepenuhnya daripada demam denggi dan telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah. Isterinya yang baru pencen pada pertengahan bulan November lalu tidak menghadapi sebarang masalah dengan bayaran pencen pertama. Pendek kata semuanya berjalan licin dan tidak ada masalah.

"Saya cukup yakin dan sangat percaya dengan ungkapan; Jika kita memudahkan kerja orang, insya-Allah kerja kita akan dipermudahkan-Nya", kata Pak Hashim. Aku sendiri akui hakikat ini. Jika ada sebarang kenduri kendara di surau atau sekitar taman perumahan ini, tak ada orang lain yang akan memasak. Cakap saja apa saja juadah dan menu yang kita hendak, insya-Allah dapatlah kami semua merasanya nanti. Sudah 2,3 ekor lembu dan kambing tumbang di suarau, tak pernah pun minta bantuan orang lain masak. Kalau tanya 'Chef Surau', semua orang taman kenal.

Pak Hashim ni bukan setakat masak saja. Dia sendiri yang akan pergi ke pasar untuk mencari semua bahan untuk dimasak. Pagi-pagi hari lagi dah sanggup ke pasar, kemudian balik memasak pula. Tidak kiralah majlis itu kecil atau besar. Calang-calang orang tak terbuat. Upahnya?....... Satu sen pun tak ada. Bagi beliau, bila masakannya habis dijamah orang, itulah kepuasannya.

Sudah tidak ramai lagi orang macam Pak Hashim ni yang ada dalam masyarakat kita pada hari ini. Pada zaman segalanya adalah duit, masih ada insan yang berhati luhur menyelesaikan masalah orang lain tanpa bersunggut. Mungkin itulah 'cermin dirinya' atas apa yang telah beliau lakukan.

Jumaat, 7 November 2008

Kayanya Kita......atau.......Didugakah Kita?

Kita selalu dengar orang berkata "duit bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya adalah duit". Orang juga selalu berkata "duit, wanita, dan kuasa" kunci segala sarakah. Kerana duit juga negara kita penuh dengan orang yang tidak langsung seiras dengan bangsa-bangsa utama dan juga bahasa di Malaysia. Pendek kata duit, duit, duit............ dan duit.

Bermacam cara orang nak cari duit. Ada kerja lebih masa dan ada yang berniaga. Macam-macam orang berniaga. Secara langsung, tidak langsung, lurus, bengkok, dan tak kurang bengkang-bengkok!

Banyak orang sekarang ini berniaga nampak kecil-kecilan sahaja, modalnya agak besar juga tetapi untungnya besar-besaran....... Alasan, mesti usaha, rajin dan komited, boleh buat pinjaman dan yang penting ramai kawan. Lagi ramai kawan, lagi cepat sucsessnya. Ayat mesti "Power" dan mendayu habis. Lemah luluh jantung hati, meleleh air liur tengok kereta mewah yang menjadi umpan dan pastinya kalau makan gaji sebagai jaga, seumur hidup pun belum tentu boleh beli. Dah ramai yang berjaya, dan tak terbilang juga yang tak berjaya. Antara yang teramat berjaya ialah seorang kawan aku di antara yang tak terbilang yang tak berjaya. Kereta mewah 3 buah dan isterinya juga dah bertambah. Biasa la orang bisnessssss.......

Sudah lama dia "bercerita" dengan aku tentang bisnes ni. Sebelum berjaya lagi dok ajak aku joint sekali. Macam-macam ayat, tetapi yang malangnya aku..... aku ni miskin, papa kedana. Bak kata Haji Bakhil dalam filem Labu-Labi tu "miskin mungkar, muka kelabu". Cukup bulan "muat-muat" saja suap mulut. Kurang sikit, mesti "miss" punya. Maka, dia pun tekun dan berusaha ke arah matlamatnya. Alhamdulillah, berkat usahanya lebih kurang 2 tahun, hasilnya melimpah ruahlah rezekinya. Aku... macam tu la juga.

Baru-baru ni, aku terjumpa dengan beliau semasa sama-sama beratur untuk membayar bil. "Sekarang ini aku dalam proses nak berhenti kerja hakiki," ungkap beliau. Baru-baru ni beliau sudah ambil cuti tanpa gaji selama setahun untuk beri tumpuan kepada bisnesnya. Daripada ceritanya, sekarang ni bisnesnya dah melebar ke seluruh Malaysia. Dalam proses ke negara-negara Asia Tenggara pula. Sungguh hebat! Kata beliau lagi, hatinya sudah tak ada ruang lagi untuk kerja hakiki. Segala-galanya sudah tawar!

"Sekarang aku dah tak percaya ungkapan, "Dah rezekinya macam tu..." ", kata beliau. "Kita kalau nak sesuatu, perlu berusaha, dan kalau kita usaha, kita tentu peroleh apa yang kita mahu", tambah beliau lagi.

Aku pernah dengar satu ceramah motivasi suatu ketika dulu. Dah lama dah. Nama orang tu Josh Devan (macam tu la bunyi namanya lebih kurang, dah lama, tak ingat) Dia ni kerjanya jual insuran yang pada masa itu hanya beberapa orang saja yang celik pasai insurans ni. Masa tu orang jual insurans ni cukup sukar nak cari makan. Apa yang menarik dalam ceramah tu ialah intipatinya. Kata Josh Devan tu lagi, bila bangun pagi sebelum melangkah pergi kerja, dia akan berdoa,"Ya tuhan, berilah aku rezeki pada aku hari ini. Aku akan berusaha dan engkau yang menentukan". Josh ni kristian.

Bila kawan aku cakap macam tu, "berderau" darah.

Adakah kesenangan dan kemewahan kita sekarang ni atas usaha kita semata, atau cuma satu ujian untuk kita? Allah maha berkuasa, dan dalam sekelip mata sahaja semuanya hilang macam tu saja. Seperti Allah ceritakan dalam Al Quran tentang Qaurun. "Alangkah bertuahnya jika kita dikurniakan kekayaan seperti Qaurun, 70 ekor untuk hanya membawa anak-anak kunci peti hartanya, tetapi apabila Qaurun dihukum, semua mereka berkata, bersyukurlah kita tidak menjadi seperti Qaurun yang lebih mementingkan harta daripada maha pencipta".

Duit, duit, duit...... duittttttttttttt

Khamis, 30 Oktober 2008

Adilkah Kita......

Di sekolah adalah pentas paling sesuai untuk kita bentuk anak-anak dengan segala macam perkara. Sebab itu kalau kita lihat, macam-macam yang pak menteri dan orang ramai bagi cadangan supaya diajar di sekolah. Kalau kemalangan jalan raya meningkat, peraturan jalan raya perlu diajar di sekolah. Banyak kes buang anak, pelajaran seks diperkenalkan di sekolah, menteri tak tahu sejarah, mata pelajaran sejarah nak diperkenalkan semula, dan macam-macam lagi. Jangan hairan jika sedikit masa lagi, ada pula mata pelajaran khas negara-negara seperti Myanmar, Vietnam, Nepal dan lain-lain lagi kerana banyak PATI di negara kita!


Kawan aku ni seorang cikgu, kerjaya yang orang sanjung tinggi suatu masa dulu. Sekarang ni orang tanya dulu "Cikgu sekolah rendah ka, sekolah menengah?"Kalau sekolah rendah, muncung saja mulutnya " Ooooo.... sekolah rendah". Setakat itu saja. Kata kawan aku laaa......... Aku dah lama sangat berkawan dengan dia ni. Aku ni pendengar yang setia, apa yang dia cerita, aku dengar.Sekurang-kurangnya hilang la sikit tension dia.


"Dalam sekolah pun ada politiknya," katanya satu petang. Aku tak pandai nak mengagak apa yang dia nak cerita, maklum la, aku ni mengaji tak tinggi. Sekolah dulu pun tingkap daun pintu kayu, siap ada jaring besi lagi. Zaman bila bina bangunan tu, aku pun tak tau. Yang aku ingat macam tu la sekolahnya bila mak aku cerita masa dia sekolah dulu-dulu. Allahyarham mak aku juga dulu belajar di sekolah rendah yang sama.


Menurut kawan aku tu lagi, murid sekarang akan "dikelaskan" kepada pencapaian akademik. Kelas pertama adalah murid yang "cream" la. Yang lain tu, semakin ke belakang, semakin "low" dia punya "signal" nak tangkap apa yang cikgu ajar. Jadi, yang jadi tumpuan ialah kelas yang pertama ini. Semua program, segala aktiviti akan disogok kepada murid-murid ni saja. Kalau nak dipuji pun, yang melambungnya murid-murid daripada kelas ni saja. Kalau ada apa-apa pertandingan, yang wakilnya murid dari kelas ni saja. Yang lainnya, jadi tukang tepuk tangan bila murid tadi ambil hadiah saja.


Yang jadi masalahnya ialah kawan aku ni mengajar kelas yang paling "low" dia punya "singnal". Sebenarnya murid-murid ini juga ada perasaan yang tidak dapat kita selami. Katanya lagi, pernah satu masa ada satu program yang terpaksa dicampurkan murid-murid tadi dengan kelas lain. Murid kelasnya tadi pun cakap yang mereka tak mahu ke kelas satu lagi seperti yang diarahkan kerana murid-murid kelas tersebut pandai dan pandang rendah pada mereka. Menitis air mata kawan aku ni apa bila mendengar kata-kata macam tu yang boleh keluar dari murid tahun 5. Ada seorang ustazah tu,pilih la murid-murid dari kelas belakang ni untuk masuk menyanyi nasyid.Bukan main teruja la murid-murid ni. Kalau latihan pukul 9, pukul 8 dah berkumpul. Heboh cerita kepada kawan-kawan supaya tengok nanti dia nak bernasyid.


Macam-macam........ Kita ingat dekat India saja hidup masyarakatnya dengan sistem kasta. Kita tak sedar pun daripada sekolah kita juga dah wujud sistem kasta secara halus. Jangan hairan jika suatu hari nanti masyarakat kita yang berpelajaran tinggi, diberi Allah sedikit kekayaan memandang rendah kepada golongan biasa. Bukan lagi dalam drama-drama Melayu saja, tetapi realitinya mungkin ada. Masa aku guna kereta Proton Saga dulu pun aku perasan juga masa pergi servis di Glammerie tu. Kalau yang datang servis tu kereta Perdana, tempat lain, siap ada "red carpet" lagi. Bukan main lagi la layanannya. Yang pakai Proton Saga ni, macam tunggu giliran dekat klinik kerajaan saja.


Sedar atau tidak, sebenarnya kita sendiri yang mencorakkan budaya masyarakat kita untuk 10 hingga 20 tahun lagi. Kalau dulu orang sering menyalahkan masa, dengan alasan zaman sekarang zaman materialistik dan sebagainya, tetapi sebenarnya semua itu hasil dari tangan kita sendiri.


Macam-macammmm............

Isnin, 27 Oktober 2008

Kasih Seorang Ibu

Untuk kesekian kalinya aku bersama isteri dan anak-anak menziarah anak saudaraku Wan Muhammad Ammar Zarif di Unit Neurologi 6B HKL petang tadi. Dah lebih tiga bulan dekat HKL ni, tak nampak pun "bertambah sihatnya", semakin teruk lagi ada lah. Kalau dikira, sudah lebih dari dua tahun kakak aku "berkampung" menemani anaknya di hospital bermula dari Hospital Pulau Pinang, Hospital Alor Setar, dan yang terakhir ni, di HKL.

Berat sungguh ujian Allah kepadanya! Calang-calang orang, mahu gila meroyan jadinya. Sudahlah kembar sulung Muhammad meninggal setelah 2 jam dilahirkan, yang seorang ni tak tahu lagi untung nasibnya. Bila pula akan sembuhnya....hanya Allah saja yang tahu.

Kalau bahasa mudahnya orang kata, penyakit "kepala besar". Daripada penjelasan perubatannya yang senang nak faham, air dari dalam kepala tak dapat turun untuk dikeluarkan dari badan secara semulajadi. Semasa di Hospital Pulau Pinang dulu, dah berkali-kali buat pembedahannya, datang ke Kuala Lumpur ni pun dah 2 kali! Tengkorak kepala tu ditebuk untuk letak sejenis alat "shunt" namanya. Bila alat tu tak berfungsi dengan baik, atau ada jangkitan kuman, kena buang pula. Ganti baru, kena tebuk lagi. "Shunt" tu tak berapa berkesan, pakai "Omaya" pula. Bila semua tak fungsi, kena tebuk, salurkan terus air kepala tu ke dalam beg plastik dekat sebelah katil pakai salur. Macam-macam ikhtiar doktor untuk mencari jalan penyelesaian. Sama ada menjalankan teori perubatan atau kajian, hanya mereka yang lebih mengetahui. Baru-baru ni, semasa orang lain gembira menyambut hari raya aidilfitri, Mohammad terlantar di ICU. Mungkin semasa pembedahan yang entah ke berapa kalinya "terusik" saraf pernafasan. Ditebuk pula dekat halkum, masuk pula satu alat "trikie"(macam tu la bunyinya, aku pun tak tau sangat). Hilang lansung suara sekarang ni. Bila menangis, hanya air mata saja yang keluar.

Setiap kali aku melawatnya, aku tak dapat gambarkan betapa deritanya Muhammad mengharungi hidup ini. Sepajang hayatnya hanya di hospital. Dunianya hanya ubat, misi, jarum suntikan, bilik pembedahan dan ibunya. Air mata aku sudah kering untuk menangisi semua ini.

Kakak aku itu tak pernah mengeluh dan jemu untuk menukar kain muntah, berak kencing anaknya. Tidak pernah aku melihat wajahnya berkerut kesusahan melakukan semua itu. Mungkin segala tangisan, air mata sudah kering dan terhapus dari kamus dirinya. Dengan suara yang lemah-lembut beliau menjalankan kewajibannya sambil berbicara dengan Mohammad yang belum mengerti apa-apa. Kadang-kadang didakap anaknya dengan penuh kasih sayang memujuk bila Mohammad "merajuk" yang sekarang ini lebih jelas nampak tulang rangkanya daripada isi .

Ujian Allah ini seakan-akan meragut segala-galanya. Kakak aku juga bekerjaya, lulusan luar negara lagi. Malangnya, atas dasar undang-undang dan peraturan tanpa ada pertimbangan belas kasihan dan budi bicara, kakak aku ni dinasihatkan supaya "pencen". Mungkin tak kena kepada diri atau saudara-mara pegawai-pegawai berkenaan. Begitu juga keluarganya. Abang ipar aku sesekali datang ke Kuala Lumpur menjeguk. Tiga orang anak lagi bersamanya. Semua bersekolah. Semua tu menuntut pengorbanan dan wang ringgit yang bukan sedikit.

Aku pernah mendengar dalam satu kuliah agama di surau dekat rumah aku. Kata ustaz tu, kekadang Allah akan menyegerakan permintaan seseorang hambanya kerana dia tidak suka melihat hambanya itu memohon sesuatu daripada-Nya. Kekadang Allah melambat-lambatkan permintaan seseorang hambanya itu kerana dia terlalu asyik dan suka melihat hambanya merayu memohon sesuatu daripada-Nya.
Hanya kesabaran saja yang ada pada kakak aku itu. Doa dan harapan sudah "bertimbun-timbun" rasanya. Panjang umur anaknya atas semangat kuat ibunya. Habis sudah semua simpanan wang ringgit. Yang tinggal hanya doa dan harapan.

Hanya Allah yang maha mengetahui segala-galanya. Kita mampu merancang............

Ahad, 26 Oktober 2008

Mana ada musim sekarang ni.........

"Sekarang ni cuaca tak menentu, kadang pagi bukan main panas lagi, bila petang saja, hujan mencurah-curah", kata Pak Omar dekat surau lepas solat zohor tadi. Baru hari ni matahari celik sikit. Kalau tidak matanya "bakup" saja. Kata Opah Kiah dulu kalau nak jemur kain masa macam ni, "Bara, bara, bara.........". Panggil matahari la tu.
Biasanya kalau dah hujung tahun macam ni dekat kampung dulu, dah mula nak kemarau. Dekat bulan 12 ni biasanya daun getah "meluruh". Tengok 'berkemerah' semua pokok getah. Tak payah ke luar negara nak tengok musim luruh. Datang saja dekat kebun getah sebelah Jeniang..... Dah boleh nampak. Masa tu la..........
Masa tu, masa yang ditunggu-tunggu. Masa tu juga la masa cuti sekolah. Kami semua panggil musim "kemarau". Bila berkumpul ramai-ramai dekat tempat "mesin getah", ada saja idea mana paya, mana "lahar", mana kubang nak turun cari ikan. Abang Dhek, Tok Cik 'Ah ( Allahyarhamah), Abang Non ( sekarang ni dah teruk sangat dah gilanya ), 'Ad Tok Tom, Jamil anak Tok Cik 'Ah, dan yang lain lagi la. Sebut saja nak pergi 'mengharu' ikan, jadi saja. Biasanya tempat yang banyak 'londang' ni dekat Paya Tok Haji Morad.
Masa tu Tok Haji Morad ini pada pendapat aku seorang yang berwawasan. Dia dah mula bina beberapa buah kolam ikan yang besar saiznya! Tapi sayang, sejak aku tahu, macam tu saja kolamnya. Tak ada pula dia bela ikan. Pernah sekali aku terjumpa dengan dia. Masa tu tengah cari kambing aku tak balik. Bukan main lagi garangnya, marah kerana masuk dekat tanah dia. Selepas itu katanya Tok Haji Morad ni dah meninggal. Tanah dia bukan main luas , siap ada banglo lagi. Kami semua takut nak pergi ke banglo tu, satu sebab semak, satu lagi katanya berhantu. Aku pun tak tau siapa dia Tok Haji Morad ni! Tapi bila aku menontoh filem-filem zaman P.Ramlee tu, ha.... macam tu la gaya kayanya. Pakai baju putih dengan seluar hitam, pakai kot dengan tali leher kecil....hisap paip... peihhhhhh. Kaya....kaya ...... kaya.......
Biasanya lepas semua siap 'mesin' getah, kami semua berkumpul la dekat mana-mana baru la pergi sekali. Lepas makan nasi ala kadar, bawa air dari telaga saja sebotol sebagai bekalan. Bila sampai dekat lokasi, kena pastikan dulu tempat tu selamat. Lepas tu baru turun. Air kena 'kacau' dengan tangan ramai-ramai supaya ikan yang ada di dalamnya pening. Bila dah 'likat' saja airnya baru la tengok. Yang anak-anak ikan dengan ikan putih dan terubul ni biasanya yang pening dulu. Haruan, keli, yang lain tu lambat nak pening. Time macam tu la seronok kutip ikan. Kami yang bebudak ni hanya pandai dapat ikan kecil-kecil saja. Anak-anak ikan, seluang, ikan putih, tu saja. Jarang sangat la nak dapat ikan haruan, keli yang besar-besar. Biasanya Abang Ndek dengan Abang Non saja yang dapat. Mereka ni dua beradik, anak Tok Cik 'Ah juga. Bila dah selesai, biasanya merekalah yang dapat bertimba-timba. Kami dapat la lima, enam ekor. Besoknya, mereka cerita la betapa sedapnya makan gulai ikan haruan la, keli la..... kami nak cerita apa. Nak goreng pun malu dekat minyak saja.
Tapi, masa tu tak fikir pun nak iri hati. Sepatutnya ikan yang dapat tu kongsi sama rata. Tapi kami tetap ikut juga bila dipelawa, dan mereka tetap akan pelawa kami.... untuk "mengharu" air supaya ikan pening. Lagi ramai budak-budak, lagi bagus. Lagi cepat ikan pening!

Jumaat, 24 Oktober 2008

Salam Pengenalan




Assalamu'alaikum dan Selamat sejahtera;





Pertama sekali saya ingin mengucapkan rasa syukur saya ke hadrat-Nya kerana selama ini tidak terjangkau dalam fikiran saya untuk membuat catatan dalam lapangan seumpama ini. Mungkin catatan ini akan dikongsi oleh orang lain yang kemungkinannya saya lansung tidak kenal apatah lagi bersua muka.



Hidup kita penuh dengan 'ranjau' dan dugaan yang mendewasakan kita. Justeru, tidak salah rasanya untuk saya mencoretkan pengalaman harian untuk meminta pandangan, pendapat, buah fikiran daripada masyarakat di mana bersesuaian dengan konsep 'Saling Mengingatkan'.



Peristiwa pahit, kenangan manis dan sebagainya menjadi asam garam dalam kehidupan kita seharian. Ada kalanya kita memerlukan ubat, ada kalanya kita telan sahaja semua itu demi meneruskan kehidupan seharian.



Bagi saya semua ini ada dalam sebiji "Peria Katak". Rasanya pahit, rupanya menggerutu, kemetot dan tak 'sedap' mata memandang....... pun begitu, jika kita rasa meloya,dicelur sebiji, dimamah....... hilang juga rasa meloya. Kencing manis, jika diamalkan dengan dijadikan ulam, insya Allah, berkuranglah ia.



Walau pun begitu, berapa orang yang kenal akan pokoknya? Adakah ditanam berladang seperti buah strawberi? Jika dahulu dijadikan pepagar keliling pangkin belakang rumah. Asal dibaling saja bijinya, 'hemoi' lah dirinya untuk hidup di muka bumi ini.



Dengan ciri-ciri dan sifatnya yang disebutkan tadi, saya amat berharap agar ruang "Peria Katak"ini dapat dijadikan wadah untuk kita sama-sama memberi pandangan, buah fikiran, nasihat dalam meneruskan kehidupan kita ini. Insya-Allah.