Sabtu, 31 Januari 2009

Hebatnya Bahasa Orang

Semalam ada perhimpunan untuk membantah PPSMI iaitu dasar pendidikan kita. Dasar yang telah disuruh pakai oleh kementerian pendidikan sejak 8 tahun yang lalu. Rasanya semua orang tahu tentang dasar pelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar matematik dan sains.

Ramai juga pejuang bahasa Melayu yang turun untuk sama-sama menunjukkan perasaan "simpati" mereka terhadap bahasa Melayu yang kian "ngayut" (kata cerdik pandai yang mengubah dasar pendidikan tersebut). Bahasa Melayu ini tidak boleh daulatkan sebagai bahasa ilmu kerana kononnya hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh menjadi jambatan untuk menguasai ilmu. Bahasa Melayu juga tidak sesuai untuk dijadikan bahasa perpaduan, sebab itulah bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia. Kadang-kadang aku sendiri pun pening kepala, apabila anak-anak bertanya, yang mana satu betul, nak guna bahasa Melayukah atau bahasa Malaysia. Bahasanya sama tetapi namanya ada dua. Kalau dulu boleh juga tanya Memanda Mamak Maideen, tapi sekarang nak tanya kepada siapa? Haru biru juga pasai nama saja.

Mungkin aku tak ada sarjana dan apa-apa kertas yang mendapat pengiktirafan dari mana-mana universiti, sebab itu rasanya tidak layak untuk memperkatakan tentang bahasa melayu ini. Semua pendapat mestilah daripada cendikiawan dan sarjana bahasa. Aku ni hanya pengguna bahasa melayu ini sebab datuk nenek, ibu dan bapa aku semuanya guna bahasa melayu. Beranak saja terus mak aku cakap bahasa melayu. Bila zaman budak-budak, belajar bahasa siam sikit-sikit(sekarang dah lupa).

Kebanyakkan ilmu ini kalau tak salah akulah berasal daripada dunia Islam. Bahasa yang digunakan kebanyakannya bahasa arab. Sebab itu bahasa yang afdal dipelajari ialah bahasa arab. Orang barat tu ambil ilmu tersebut dan terjemahkan dalam bahasa mereka, ditokok tambah jadi lebih baik dan dapat diterima oleh semua bangsa. Kita cuma bangga dengan tokoh-tokoh ilmuan islam kita sahaja, tetapi tak pun bangga dengan bahasa yang mereka guna.

Kadang-kadang buat kita ketawa orang cerdik pandai ni, bahasa Melayu sebagai bahasa penggantar di sekolah kebangsaan, ajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Di luar pulak terjerit-jerit sampai terkeluar anak tekak suruh memertabatkan bahasa Melayu! Gila ka apa ni! Kacau-bilau betul, macam juga parti yang memerintah sekarang ni. Samalah sebab merekalah yang buat dasar ni!

Kasihan dekat anak-anak Melayu kita. Kerana politik mereka menjadi mangsa. Kesannya 5,6 tahun lagi. "Kunci" kepada kemajuan bangsa itu sendiri telah "dicampak". Adakah dengan berbekalkan gred C dalam matematik dapat ambil jurusan akaunten di IPTA atau IPTS? Matematik dan sainslah yang sangat penting dalam ilmu hari ini. Nak jadi tukang rumah pun kena tahu kira berapa panjang kayu, berapa biji batu-bata. Apalah yang anak-anak kita nak lakukan esok-esok nanti jika ditakdirkan tidak berjaya dalam pelajaran? Nak Kerja buat rumah Indon dah berkenjah, nak kerja pan minyak, Bangla dah berlagak jadi taukeh, nak berniaga tepi jalan, Acheh dan "konker", kerja dekat ladang dan kilang Vietnam penuh. Tak lain tak bukan, jadi peragut dan juga "Mat Rempit" la jawabnya. Terima kasih banyak-banyak kepada pemimpin yang telah banyak berjasa kepada bangsa kita!

Kadang-kadang aku rasa cemburu kepada kawan-kawan bangsa asing. Depa ni boleh sekolah dengan bahasa depa. Belajar matematik dan sains pun ikut masa tertentu guna bahasa Inggeris dan yang lebihnya bahasa depa. Bertutur dengan bahasa depa, tak dak dok kempen merata-rata. Jadi, apa yang lebihnya bangsa melayu kita.

Betul la juga, soalan periksa buat dalam dwi-bahasa, tetapi semuanya kerja ni gila! Bercempera merata dalam kepala anak-anak kita! Jadi keliru, penuh caca-merba, ibarat atas kepala penuh reba. Bila jadi macam ni nak disalahkan siapa? Pemimpin kata salah mak bapa la, kenapa tak dipantau anak-anak hampa, sebab tu jadi tak ketahawan hala! Yang mak bapa ni pun tak tau nak kata apa, anak-anak dah bercempera, semua pakat-pakat terlopong, ternganga...........

Rabu, 21 Januari 2009

Masa Telah Berubah.

Sudah masuk 3 minggu anak-anak kita bersekolah dalam sesi 2009 ni. Sepanjang tempoh itu juga aku ni sibuk menguruskan hal-hal berkaitan anak-anak. Seorang tu dah masuk sekolah menengah, manakala seorang lagi di tahun 6 sekolah kebangsaan dan bakal menduduki UPSR tahun ini.

Semasa anak aku yang sulung dulu ambil UPSR, pencapaian di sekolahnya meningkat 100%! Tahun 2007 cuma 15 orang dapat 5A, tetapi tahun ni, 30 orang murid! Kalau kita masih ingat, Menteri Pelajaran kita cakap tempoh hari, tahun ini adalah sejarah kerana pencapaian UPSRnya adalah yang terbaik sejak 5 tahun yang lalu. Dan, apa yang paling penting ialah berjayanya dasar kerajaan dalam memperkenalkan PPSMI (gunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik). Kononnya. Konon-kononnya la.........

Anak aku ni dapat 2A, 2B dan 1C sahaja. Buat masa ini, itu sajalah kemampuannya. Kalau aku sendiri pun belum tentu nak dapat macam tu! Cuba kita bayangkan kehidupan anak-anak kita hari ini. Bangun pukul 6.00 pagi.Uruskan diri untuk ke sekolah kebangsaan hingga pukul 1.30 tengah hari. Tak sempat balik ke rumah, tukar baju dan mandi serta, makan ala kadar saja, terus pula ke sekolah agama! Balik dah pukul 6.00 petang. Sampai rumah pukul 7.00 malam! MALAM ! Pukul 8.00 ke tuisyen pulak. Balik pukul 10.30 malam. Masa tu lah nak siapkan kerja rumah, nak buat persiapan untuk ke sekolah esok pagi. Kalau tertinggal buku, atau tak siap kerja rumah, dah kena marah dengan guru pula! Kita yang dewasa ni pun kalau balik pejabat pukul 5.00 tu dah terbongkang letihnya. Pantang anak bersuara sikit, terus tengking. Anak-anak kita tak ada masa rehat lansung, jauh sekali untuk bermain. Jika tak dihantar ke sekolah agama, aku sendiri pun tak mampu nak mengajarnya, sirahnya, tajwidnya, dan lain-lain lagi. Kalau main tu, kita anggap anak kita buang masa. Ada sesetengah ibu bapa yang hantar anak-anak mereka ke 2, 3 pusat tuisyen.

Aku ada terbaca satu rencana. Kata penulisnya, bermain tu dapat membina 90% keperibadian dan pertumbuhan mental kanak-kanak. Dengan bermain kanak-kanak akan jadi lebih kreatif, berani, cekal, sifat ingin tahu dan lain-lain nilai yang agak sukar untuk kita ajar secara ilmiah. Walaupun ada kegiatan kokurikulum di sekolah, tetapi sejauh manakah keberkesanannya? Mampukan guru-guru yang mengajarnya menerapkan nilai-nilai ini dengan hanya merancang atas kertas!

Kita semua pernah mengalami alam kanak-kanak. Dulu, kita main lastik, buat jerat burung merbah, memancing ikan, kutip buah-buah hutan makan, menimba ikan, main baling kasut dan macam macam lagi. Anak aku sekarang ni kerbau jantan dengan betina pun kena bagitahu, yang mana jantan, yang mana betina. Semua binatang terbang dia kata burung. Kelawar dengan keluang pun tak kenal. BATMAN katanya. Padi kata beras!

Apa pun semua ini adalah tuntutan semasa. Zaman dah berubah. Mahu atau tidak, kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Tetapi kita perlu ingat, alangkah ruginya kita nilai-nilai sepeti itu kita harus korbankan demi menyesuaikan diri dengan keadaan. Sepatutnya kita perlu mencari jalan supaya nilai-nilai tadi tetap kekal dan masa bergerak seiring dengannya
.

Khamis, 1 Januari 2009

Tali Oh Tali.......

Maka pada hari ini, dengan penuh rasa bangganya pihak berkuasa mengumumkan sebanyak 242 saman telah dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar. Setelah 6 bulan kempen dijalankan, dan setelah 2 minggu diberikan amaran, maka semalamlah berkuatkuasanya.

Apa yang pasti, hanya pihak bertanggungjawab sahaja yang ada statistik tentang kemalangan yang melibatkan kemalangan maut akibat daripada tidak memakai tali pinggang kaledar bagi penumpang di belakang.Mungkin terlalu banyak sebab itulah kesalahannya terlalu besar sehinggakan apabila dikuatkuasakan sepenuhnya nantikan akan didenda sejumlah RM2,000.00 atau 1 tahun penjara jika disabitkan kesalahan. Fhuiiiiiyooooooo...... Sangat bahaya!!!!!!

Tapi bahayanya ni pulak boleh dipilih-pilih. Kalau kenderaan yang dipasang sebelum tahun 1995 sangat tidak bahaya buat masa ini, tetapi ingat, 3 tahun lagi barulah jadi sangat bahaya. Kalau bas pun, penumpang belakangnya tidak juga bahaya. Yang baru-baru ini meninggal 10 orang kemalangan bas tu cuma boleh dikelaskan sebagai mati mengejut dan tidak disengajakan! Nak mati la katakan.......

Kalau naik keretapi pun sepatutnya kena pakai tali pinggang juga, sebab kenderaan darat ( pendapat aku la ), tapi keretapi tu panjang, bila 'eksiden' kepala la dulu kena. belakang boleh la selamat kot. Kot-kot la....

Dengar cerita, Syarikat PERODUA sahaja membelanjakan sejumlah RM61 juta untuk memasang semua model bagi kenderaannya yang telah dikeluarkan tanpa tali pinggang. Proton? Kalau pakai tali pisang boleh ka buat tali pinggang ni? Pakai tali rafia kuat sikit kot! Beli dekat kedai Sundar pun boleh!

Masa berita tadi, nampak ada berita bergambar. Adalah anak-anak yang duduk dibelakang sebuah kereta seramai 4 orang. Yang 3 orang tu pakai, lagi sorang tak pakai, tapi bila temuramah dengan bapanya, dia kata"Baguih, kempen ni, boleh selamatkan nyawa. Kita kena bantu mengurangkan kadar kemalangan maut ni". Yang anak dia tak tali pinggang sorang tu, macam mana kira?

Kalau kita naik kapal terbang pun, bila dah naik, kapten dia kata boleh buka tali pinggang. Nanti nak turun, kena la pakai balik. Kalau ikut-ikutkan peraturan, kena belit sampai ke tengkuk! Bukan boleh jangka bila kapal terbang tu nak jatuh. Terbanglah katakan, bukan atas darat!

Aku rasa semua orang pernah memandu atas lebuh raya. Cuba kita lihat sikap pemandu bas-bas ekspres. Kalau kita dalam kelajuan 110km/j, dia selamba saja memotong kita. Kes-kes macam ini biasa terutama bas ekspres ke pantai timur. Berapa agaknya kelajuan mereka? Begitu juga dengan kenderaan besar sepeti lori dan tidak kurangnya kereta yang dipandu anak-anak muda yang ekzosnya baya peha kita ni. Bukan 110km/j, tetapi darab dua.

Mungkin mereka semua memakai tali pinggang yang harganya lebih mahal, sebab itu kalau kemalangan mereka tidak kisah. Garenti selamat punya! Kalau pakai tali kambing tu la yang 'padam'.

Mungkin 'Ops Sikap' pada tahun ini nanti akan mengurangkan dengan drastik statistik kemalangan maut ni apabila semua dah pakai tali pinggang. Kalau ada anak 4 orang, pastikan yang seorang itu dihantar ke destinasi yang hendak dituju melalui kiriman Pos Laju terlebih dahulu, kerana kereta hanya untuk 5 orang sahaja. Pos Laju pun dah okey sekarang ini, Kata Samy Vellu "Hari ini pos, semalam suda sampei" Jika tidak, sila buat ulang-alik Kedah Kuala Lumpur sebanyak 2 kali untuk setiap perayaan atau kecemasam yang lain.

Semasa kajian yang dijalankan dahulu itu, mungkin responden yang jawab soal selidik tu tak jumpa item 'SIKAP' kot nak ditanda atau mungkin orang cerdik pandai yang mengkaji tu tak terfikir atau tak terlintas dalam fikirannya bahawa faktor sikap para pemandu juga boleh menyumbang kepada kemalangan maut (pendapat kurang cerdik aku la yang tak ada kelulusan dan jawatan seperti Datuk Sigh tu ).

"Selamat memandu, dan jangan lupa memakai tali pinggang keledar"