Khamis, 12 November 2009

Hujan

Sejak kebelakangan ni hujan saja setiap hari. Kalau tak pagi, petang, tak petang, malam. Orang kata 'musim hujan'. Kalau sebelah Pantai Timur, depa dah tau dah, la ni kena dok pakat berjaga la. Tapi, tak kira juga, Kedah pun sakan juga la ni kalau mai bah ni.

Bila berujan ni, ingat masa aku kecik dulu. Masa tu ada 'londang' ( nak kata paya pun boleh la ) dekat dengan jalan besaq, simpang nak masuk rumah aku. Kalau hujan tu turun, lepas tu segheyat dalam pukul 4, 5 petang la...... Korek cacing buang satu tempurung. Bawa saja batang 'bhok' ( pancing ) pi dekat pokok mokthan. Mengail ikan 'Lais-lais' ( nama lain dia, ikan Tapah Bemban ).
Kalau dekat 10, 15 ekoq, sat saja ahhh. Perut dia buncit saja lepas hujan. Tu la kuasa Allah ni, hujan tu rahmat bagi semua makhluk. Ikan yang dalam air tu pun dapat makanan bila hujan turun. Serangga yang dok atas daun, semut ka, belalang ka, jatuh dalam paya, jadi la makanan dia.

Balik tu, selalunya arwah mak aku buat 'asam pedas' ( belah sini orang panggil 'asam rebus'). Biasanya cari la ubi kayu muda baya lengan budak kecik umur setahun tu buat rencahnya. Pekena pula dengan nasik panas, pheeehhhhhhh........ Tersandaq.....

Seingat aku, selepas Lan Tok Liah racun pakai cap tengkorak londang tu, lansung tak dak apa-apa lagi dah dekat paya tu. Dah dekat 35 tahun dah ada la kot. Masa kena racun dulu tu, bekemutih ikan. Penuh satu londang tu. Sendat dengan bangkai ikan! Busuk jangan cerita la. Dekat sebulan. Air jadi hijau. Sampai la ni, 'Ikan Kemere'ih' pun nak cari buat ubat tak dak dah.

Teringat aku dengan lagi loghat Kelantan tu "Anak Tupei".......

Rabu, 11 November 2009

Cerdik Tak Semestinya Boleh Tumpang, Yang Bodoh Dah Tentu Sukar Nak Diajar

Dah lama aku tak tulis. Banyak sangat yang berserabut dalam kepala ni. Kalau boleh nak tulis sampai berjela-jela. Kalau kira kertas kajang, dari Kuala Sin sampai Kuala Ketil ada la kot!
Satu yang menarik perhatian aku bila mana baru-baru ni kerajaan telah 'melupakan' hasratnya ( mungkin buat masa ni la kot, kedepan kita tak tau lagi ) untuk mewajibkan kenderaan yang umurnya 15 tahun ke atas untuk menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM. Itu pun sebab ada tunjuk perasaan di Gurun kalau tak salah aku, masuk TV. Kalau dak, belum tentu lagi. Yang masa mula-mula umum dulu tu, sapa la punya cadangan gamaknya ya? "Rakyat di Utamakan".

Kata pakcik sorang tu, kalau nak beli baru macam mana dah umur lanjut, sapa nak bagi pinjaman nak bayaq bulan. Betui la.... tu yang ada pencen, yang motong getah nak pencen menatang apa? Betui la bagi RM5,000.00 lepas tu beli kereta baru. Yang nak bayaq bulan lagi, nak 'bela' dia lagi. Minyak lagi, tak makan cekak kalau gaji 4, 5 ratus sebulan. Mau pula mai musim hujan macam la ni.

Dulu masa minyak naik RM2.80 tu, depa buat don't know saja, pasai apa hampa nak tau? Pasai masa tu pakcik-pakcik tak tunjuk perasaan! Puak pembangkang saja yang dok tunjuk perasaan. Bang Mat Sabu bawa periuk laaa.... Lagi satu, masa tu tak dak lagi slogan "Rakyat diutamakan, .........."

Ada pula sekoq mamat dekat rumah aku ni kata, orang melayu ni tak pernah bersyukur, bagi subsidi minyak pun salah, tak bagi subsidi minyak pun salah! Macam aku kata dulu la, bodoh sampai tak tinggai dekat orang sama mamat ni, dia tau dak yang dekat Sebelah Kampung Betong tu, Kubang Kesom. tak payah jauh la, Kampung Jerai dengan Kuala Sin sudah la, berapa biji motosikal yang ada road tax? Boleh kira dengan jari tangan kiri saja, tak pakai tangan kanan lagi. Tak termasuk dua belah kaki pun. Kalau dah tak dak road tax, hang nak pi claim dengan apa? Tang barang naik juga. Motor ni bukan dok bawak pi pekan pun, naik pi motong, menebas kebun saja. Yang jadi masalahnya kena taruk minyak juga. Kalau boleh perah buah getah tu, ambik minyak bubuh dalam tangki syok juga. Ya la , macam buah Pokok Jarak yang heboh sat dulu tu, sampai la ni pun tak dak lagi stesen minyak Pokok Buah Jarak ni tepi jalan. Pi tengok Kedai Ajin dekat Jeniang tu, sekupang dua mau juga naik harga barangnya. Kata kalau bagi subsidi kerajaan kena bayaq RM3 - 4 billion, tapi bila bagi subsidi, kerajaan bayar dekat rakyat RM 6 billion. "Rakyat diutamakan". Duit yang sepatutnya bayaq dekat motor yang tak dak road-tax tu pi mana?

Ni lagi satu, Toyota yang syarikat besaq gedebhaq tu pun cabut tak mau masuk Fomular One, alih-alih kita yang tak dak apa kebenda ni nak pi dok lawan pulak! Dok tebiang sua kepala pi! Nak mampuih sungguh dah. Nak buat injin dengan apa haa.... Kalau pakai tepung beras kulit dia rapuh sikit, nak bagi lagi liat, kawww punya ha.... tambah la tepung pulut. Kalau boleh Tepung Pulut Siam cap Tiga Gajah tu. Puuhhhhhhh.. Gerenti tak pecah punya injin hampa.......




Selasa, 1 September 2009

Merdeka!

Semasa di tempat kerja semalam, seorang kawan buat lawak pagi-pagi hari. "Hang dah pi ambik ka hadian daripada kerajaan sempena hari merdeka ke 52 malam tadi?". Beriya benar soalannya. "Ada hadiah ka? Tak tau pulak aku yang tahun ni kerajaan bagi hadiah untuk rakyat masa merdeka?". "Ada. Semua rakyat depa bagi, hang nak ka, tak nak ka, nanti dapat jugak,"tambahnya lagi. Naik pinau juga la dok pikiaq apa ke menatang hadiahnya. Kot la nak ambil hati rakyat bagi hadiah pen ka, pensel ka buang sebatang. Tak pernah ada lagi hadiah macam tu bila merdeka. Yang kita tau masa merdeka ni, depa dok belarak sakan. Yang menterinya pakai baju mesti sama. Berbaris la semua rakyat jelata, penuh dengan warna-warni. Tertonggek-tonggek betina jantan dok la menari depan pentas utama...... tarian kebudayaan la kononnya. Habis la jadi mangsa budak-budak sekolah. Masa latihan tu ambik masa lama mana kita pun tak tau la. Yang taunya budak-budak tu memang suka pasai dapat sijil dengan baju free!


Balik pasai hadiah tadi tu....... Rupanya baru aku tau, apa yang kawan aku tu maksudkan. Harga minyak naik malam 1 haribulan tu. Betul la hadiah merdeka! Dulu janji yang RON95 tu nak jual RM1.75, tapi jadi RM1.80. Yang RON97 tu jadi 2.05 yang dulu tu janjinya RM2.00. Aku tak heran la pasai tu, sebab sejak 10 hari sebelum merdeka lagi semua stesyen minyak dekat kawasan Sungai Choh dengan Rawang ni dah jual RON95 ni. RON97 dah tak dak, tapi harganya RM1.75 lagi. Masa cuti sekolah seminggu baru ni, aku balik "pegang" puasa dekat Kedah. Semua stesyen minyak masih kekal dengan harga lama. Masa aku isi minyak dekat Shell jalan Kuala Ketil berhampiran Pasaraya Econsave tu tanya la budak dok pam minyak tu. Tak naik lagi ka harga? Dekat KL nun dah tak dak RON97 dah. Dia kata yang depa kena naik 1 haribulan bukan la masa aku tanya tu. Baguih la stesyen minyak dekat Kedah tu. Dekat belah sini, pantang lepa saja.


Orang kampung atau orang yang macam aku ni bukannya tahu apa tu menatang RON! Hang bubuh pi la berapa puluh ka ratus ka. Tapi yang aku tau, masa 'start' kereta pagi-pagi tu, dulu bau lain, sekarang ni, bau tengik semacam saja. Lagi satu, naik Bukit Benggali ke Sungai Buaya pun merangkak dah kereta aku tu. Kereta baru 3 tahun umurnya. Betui la.... makan makanan tak cukup zat. Tu yang tak larat tu. Mampiuhhhhhh.............

Merdeka ka? Merdeka dengan gula pun susah nak dapat. Bukan pie cari dalam parit ka, paya ka, nak pie beli...... pun tak dak! Topeng muka, kata harga tak lebih lapan kupang, tapi orang tibai jual sampai RM1 pun ada lagi. Siapa yang nak dok pantau semua ni?

Yang aku hairan tu, ada juga orang yang sokong masa dalam berita Klasik Nasional pukul 7 pagi hari tu. Dia kata "Baguih la kerajaan perkenalkan RON95 ni. Mematuhi piawai Europ. Mengurangkan pencemaran alam. Tahan labih lama dengan lebih perbatuan. Harga pun murah sikit". Kepala hangguk dia. Belajaq mana la asap kereta ni tak mencemarkan alam. Bodo sampai tak tinggai kat orang lansung. Bagi la bodo tu sikit dekat orang lain sama.

Rakyat diutamakan; pencapaian didahulukan. Nak buat macam mana.................


Ahad, 9 Ogos 2009

Semakin Pendek Umur Kita

Pada 27 Julai 2009 yang lalu, aku kehilangan seorang sahabat baik yang aku kenal hati budinya lebih dari 15 tahun. Ramai orang yang kenal dengan sahabat aku ni, terutama di kawasan Batang Kali. Kalau sebut saja 'Cikgu Bhatu', semua orang kenal. Kalau murid-murid SMK Bandar Baru Batang kali, dah tentu la kenal sangat kerana dia seorang kaunselor. Aku kenal dia ni kerana insuran. Beliaulah yang memperkenalkan aku dengan dunia insuran ni.

Antara kata-kata yang aku masih ingat, "Sebenarnya orang jual insuran ni buat kerja yang cukup baik. Ingatkan orang tentang masa depan, merancang untuk kebaikan keluarga. Kita bukan nak mencuri duit orang. kita nak bantu orang macam mana nak tolong diri sendiri. Setiap pekerjaan tu tentu ada upahnya. Komisen daripada pihak syarikat tu adalah upah hasil daripada kerja kita". Bila aku ingat sekali, memang betul kata -kata Bhatu. Kalau ada agen insuran datang ke tempat kerja aku, berselerak orang lari! Baru saja cakap" Saya agen insu........" Bersembur air daripada mulut, terus cabut lari.

Tak salah orang ramai mengenai hal ini. Kebanyakkan orang dah ada pengalaman pahit tentang insuran ni. Masa nak beli tu,manis mulut bukan main, bila dah beli, lantak hang la...... Kalau nak claim, borang tu la, borang ni la...... pendek kata remeh temeh la nak dapat duit sendiri.

Bila aku perhatikan Bhatu ni bisnes, dia cukup jaga semua ni. Tak hairan la kalau selama ini dia kekal dengan bisnes ni. Kalau tak beli polisi dengan dia, tak pa, jadi kawan. Bab berkawan ni. aku cukup hormat Bhatu ni. Kalau kita ada masalah, cerita saja, malam pun dia sanggup datang tolong. Dia jugalah yang 'menjaga' anak-anak saudaranya yang sedang belajar di Russia ambil bidang doktor setelah kematian abangnya yang sulung. Bukan main sikit ka duit untuk belanja dua orang anak-anak saudaranya itu. Mak dia pun dulu dia yang jaga sebelum pindah rumah baru dekat Tamu Hill Batang Kali tu.

"Bila tiba masanya janji Allah, tidak lewat sesaat atau tidak awal sesaat". Masa sedang bergembira bersama kawan-kawannya bermain badminton, Bhatu bersandar sekejap setelah selesai bermain dua set. Sedang bercakap-cakap, tiba-tiba 'terkulai' kepalanya. Bila kawan-kawan check, nadi dah tak ada. Cepat-cepat bawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu. Rupa-rupanya doktor di hospital itu cuma dapat mengesahkan yang Bhatu telah pergi meninggalkan keluarga, sahabat dan kawan-kawannya buat selama-lamanya.

"Takziah buat Keluarga Cikgu Bhatmanathan atau Cikgu Bhatu"

Sabtu, 11 Julai 2009

Rakyat diUtamakan

Cuti hujung minggu lepas aku berkesempatan balik ke Kedah jenguk orang tua, mentelah pula sekarang ni musim buah-buahan. Seingat aku, pokok durian belakang rumah tu dan dekat sepuluh tahun berbuah, tapi tak pernah seulas pun merasa. Bila masa luruh saja, tak berkesempatan nak balik. Bila dah balik, semua buah dah habis. Kalau rambutan tu, biasanya kering hitam atas pokok saja la. Sekali ni, aku sekeluarga sempat la merasa durian. Buah rambutan yang mengkal sedang elok nak dijamah. Kata ayah aku, buah durian tahun ni kurang sikit manisnya. Masa 'memberat' tempoh hari, kena musim kemarau. Buah jadi macam nak mangkar.

Masa makan rambutan dekat depan rumah tu, aku 'terperasan' motosikal EX5nya masih belum bercukai jalan lagi. Bila aku tanya, katanya sekarang ni cukai jalan memang murah, cuma RM2 saja. Yang tak tahannya ialah insuran motosikal tu. Kalau motosikal yang mencecah 10 tahun, insurannya mencecah RM120! Macam mana la orang kampung yang kerjanya menoreh getah nak bayar dengan duit banyak tu. Nak beli beras ka, nak bayar insuran motosikal. Kalau macam orang tua aku tu, sehari menoreh mungkin dapat la RM10 - RM15 kot. Harga getah sekarang ni pun murah saja. Kalau nak dikirakan dengan hari boleh menoreh, dan jumlah belanja harian, mana la mampu. Teringat aku masa aku guna motosikal dulu. Insuran masa itu lebih kurang RM65 macam tu, campur dengan cukai jalan RM32. Kurang dari seratus dan ada cukai jalan dengan insuran. Kalau kita fikirkan, bukan senang-senang syarikat insuran tu nak naikkan premium kalau tak dapat persetujuan Bank Negara! Betul la........ Rakyat diutamakan!


Sebelum cuti penggal dulu tu, anak aku yang belajar di tingkatan satu bawa balik surat makluman. Kena bayar 'Bayaran Tambahan' berjumlah RM150 lebih. Masa bayar 'Bayaran Tambahan' tu, rupanya nama baru bagi Yuran. Menteri Pelajaran sebelum ni dah 'haramkan' perkataan Yuran ni rupanya. Kalau dulu tu, Yuran kutip awal tahun dengan jumlah RM4.50, sekarang ni kutip bulan Jun. Bayarannya RM150 lebih!.... Sikit punya banyak ka lari jumlahnya. Sekali lagi kita harus ingat..... Rakyat diutamakan!

Isu PPSMI yang pernah aku cerita dulu tu pun rasanya macam tu la jugak nanti jadinya. Kalau ikut statistik yang keluar masa berita dekat TV hari tu, memang la nampak sangat gagalnya. Orang 'tonggang' lagi 'banggang' pun tau, tapi yang syoknya, tahun 2012 pula nak dihentikan. Apa la punya ngok menteri kita ni, dah tau tak baguih, dok 'tebiang' juga sua kepala. Otak letak dekat kepala lutut ka, dalam tong sampah orang macam ni. Sekali lagi kita kena ingat.... Rakyat diutamakan!


Dikesempatan ini juga, aku ingain mengambil kesempatan untuk mengucapkan Tahniah kepada Perdana Menteri kita yang sungguh berjiwa rakyat walaupun hanya baru sekali kita nampak duduk bersila di lantai dalam dewan. Yang kita tak nampaknya duduk atas kerusi empuk yang macam mana dalam rumah macam mana. Tahniah kerana mementingkan kebajikan rakyat dengan menzahirkannya seperti cerita-cerita di atas tadi. Tahniah atas slogan 'Rakyat diUtamakan'

Rabu, 8 Julai 2009

Tadika

Petang semalam, bila aku melangkah masuk saja ke dalam rumah, bukan main ceria lagi anak perempuan bongsu aku datang bawa fail. Dengan mulut keletahnya dan penuh semangat dia pun bagitahu "Abah mesti baca ni, lepas tu tanda tangan. Ni yang Yaya periksa ni......". Beria-ria dia bagi tahu. "Jangan lupa, nanti abah tanda tangan tau," ingatkan aku berulangkali.

Itulah sorang-sorangnya peneman ibunya di dapur, yang lain semuanya 'hero', ikut aku memancing! Umurnya kalau dikira tahun tak sampai lima, sebab lahirnya hujung tahun. Bertubuh kecil sahaja. Bila orang tanya, la... dah lima tahun, kecil saja.... ikut ibunya.

Awal tahun dulu, bila aku daftar sahaja ke Tadika, bukan main bersemangat lagi. Tadika itu di Sungai Buaya. Dari tempat aku ni, kena naik kenderaan la ke sana. Pihak Tadika tu yang sediakan. Semua barang-barang dan alat tulis dia yang pilih sendiri. Semua nak warna pink! Jenuh ibunya cari sekitar pekan Rawang nak cukupkan korum warna pink! Selalu terpacul di mulutnya "Seronok ni Yaya nak sekolah, Yaya pun sekolah, along pun sekolah, angah pun sekolah", merujuk kepada abang-abangnya.

Kadang-kadang suami pengusaha Tadika yang bawakan anak-anak ni ke Sungai Buaya. Sering juga dia bercerita dengan aku tentang anak aku ni. "Mulutnya macam bertih, bercakap saja. Tak sangka la tengok. Anak U ni memang nak sekolah", pernah sekali dia bagitahu aku.

Bila hari pertama tu, penuh semangat. Balik saja terus keluarkan buku. "Yaya ada kerja sekolah ni, Yaya ada kerja sekolah ni....". Tulis la dia dengan bentuk yang herot-petot huruf-hurufnya. Kadang-kadang aku pun naik heran juga, macam mana la Tadika ni punya sistem. Terus saja suruh budak tulis. Tak ada ka nak buat macam kita dulu-dulu tu. Mula-mula tulis 'atas angin' buat bentuk melengkung. Lepas tu buat garisan ombak-ombak, bulat-bulat dan macam-macam lagi aktiviti yang boleh menggerakkan psikomotor budak-budak ni. Yang aku nampak Yaya ni hari-hari buat kerja dekat buku kerja yang berbeli tu. Sebab tu la beratus ringgit bayar masa daftar tu. Kata hati aku la! Aku tak la ambik pusing, sebab mungkin sistem dah berubah.

Sejak kebelakangan ni aku nampak Yaya tak begitu bersemangat nak ke Taskanya. Ada sekali tu, masa main dekat Taman Permainan dengan along dan angah, ada seorang kawannya mengejek Yaya, "Ibu, tengok Yaya tu, dia tak pandai lagi baca A, B, C ........", beritahu anak tu kepada ibunya. Along dangan angah balik cerita la dekat ibunya. Memang la, macam mana nak pandai baca, baru 3, 4 bulan kenal sekolah. "Yaya ke sekolah nak kenal kawan, nak kenal cikgu, nak tengok macam mana nak sekolah. Nanti Yaya tak la takut nak masuk darjah 1", itu alasan ibunya. Memang pun, abang-abangnya dulu tu terus saja ke Tadika sebab Taskanya sekali. Tak dak la masalah apabila ke sekolah harian nanti.

Ada juga kadang-kadang dia mengadu "Hari ni cikgu pukul tangan Yaya lagi, abah". "Yaya tak siap kerja kot?". Dia akan cakap dengan nada yang perlahan, " Yaya tak tahu, Yaya tak pandai" Bila aku dengar, naik sayu pula. Selalu aku pujuk, "Tak pa lah, lama-lama nanti Yaya pandai la, Yaya kena rajin".

Sebelum cuti pertengahan tahun baru ni, Yaya menangis tak nak ke Tadika. Naik angin juga aku, pagi-pagi hari dah buat perangai. Dia kata tak siap kerja sekolah. Aku ambik la buku tengok, apa yang tak siapnya. Masya-Allah, anak yang tak sampai 5 tahun tu disuruhnya tulis ayat "Saya suka baca buku" berulang kali untuk penuh satu muka surat dalam buku bergaris tiga! Macam mana la nak tulis, nak buat garisan lengkung dengan lurus pun terkial-kial lagi anak aku ni. Aku pun tulis la nota sikit, mohon supaya anak aku ni tak payah la tulis panjang-panjang macam tu. Minta cikgunya suruh tulis a, b, c cukup la. Mulai dari hari tu, Yaya tak ada lansung kerja rumah. Aku pun pergi 2,3 kali intai di kelasnya, duduk pun dah di belakang sekali. Sekali tu, aku tengok duduk betul-betul depan meja cikgu, mata merah berair, macam menangis saja. Yang cikgunya mengajar bukan main lagi, macam mengajar budak darjah enam lagaknya, "b, a; ba : b, i; bi..... Faham tak murid-murid!" Pheihhhh..... mengalahkan cikgu sekolah harian.


Aku bukan nak anak aku ni ke Tadika tu terus boleh membaca, menulis dan mengira. Itu semua kerja cikgu sekolah harian dan dah ada pun sukatan kurikulum untuk anak-anak ini. Sebab itulah sekolah harian ada 2 bahagian yang satu tu dikenali Tahap 1. Dalam tempoh 3 tahun di tahap 1, murid-murid akan diajar dengan asas untuk menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira. Tahap 2 pula, murid akan dilatih untuk mengaplikasikan ketiga-tiga kemahiran itu untuk mena'akul maklumat.

Tujuan aku hantar Yaya ke Tadika tu untuk membina kemahiran interpersonalnya. Boleh bergaul dengan kawan, tahu yang macam mana orang panggil cikgu, yang macam mana panggil makcik, sekolah tu macam mana. Aku pun tahu setakat mana la kemampuan anak aku ni.

Petang semalam hati aku sebak, perasaan sedih menusuk ke tangkai hati, menitis air mata aku tanpa aku sedari. Yaya diberikan gred "D" bagi penilaian Pergaulan dengan guru. Tidak ada yang terbaik bagi Yaya yang dinilai oleh gurunya melainkan gred "C" sahaja yang layak disandangnya. Alasan, Yaya tak mahu bercakap, tak mengenal huruf dan tak tahu membaca. Apalah yang anak kecil itu tahu...........

"Abah, abah jagan lupa tanda tangan kertas tu ya, Yaya nak tunjuk dekat along dengan angah pula ni", sayup terdengar suara keletahnya sambil melompat bangga.



Rabu, 3 Jun 2009

Kontraktor Kita

Bila aku baca berita tentang runtuhnya stadium di Terengganu yang tak sampai setahun baru bina tu, teringat pula tentang kerja-kerja baik pulih tempat aku tinggal ni. Aku ni sebenarnya menumpang dekat kuarters kerajaan.

Kuaters ni kalau kita pandang daripada luar, bukan main lagi cantiknya, reka bentuk yang sungguh menarik dan ada segala kelengkapan. Pengawal Keselamatan 24 jam! Hebat bukan main lagi. Kalau tengok pula daripada dalam, hanya Allah sahaja yang tahu. Kalau bocor dekat bilik air dengan kepingan tile terkopek adalah perkara biasa. Pernah yang bercerita, sedang rehat menonton TV, tiba-tiba meletup tile tu. Semua ahli keluarga bingkas bangun, ingatkan ada gempa bumi.

Kalau nak dikirakan, bangunan ni baru sahaja berusia lebih kurang 5 tahun. Kalau bagi aku, anggaran kerosakan unit yang tak boleh didiami penghuni lebih kurang 40%! Masalahnya tidak ada penyelenggaraan berterusan daripada pihak yang bertanggungjawab. Setahun ada la turun peruntukan atau wang untuk baik pulih. Yang baik pulih ni yang aku nak cerita ni!

Maka datang la kontraktor yang nak baik pulih unit-unit yang rosak tu. Datang 8 orang, dengan seorang jurucakap. Jurucakap tu, kenal sangat dengan aku ni. Tak pa, kot depa tak berapa fasih nak buka mulut. Setelah berbincang, aku pun ambil la inisiatif untuk kumpulkan semua penghuni yang terlibat. Aku ni bukan ada apa-apa jawatan pun, sekadar gunakan reputasi yang dulu-dulu tu ada lagi bisanya.

Dalam perbincangan tu, katanya hari bekerja 10 hari. Semua rumah siap, sekali bersih semua sampah. Lepas tu, bawa la ke site. Masa tu aku dengar bukan main la nak buatnya, yang itu perlu ganti, yang ini kena buka, kena umpil balik tile, pasang "waterproof' dan macam-macam bahasa kontraktor. Aku ni rasa bangga la, ada kawan kontraktor. Kembang la hidung sat boleh jalan dengan depa ni. Orang nampak pun sakan la.......

Masa hari kerja tu, yang datang cuma 2 orang Indon saja. Mana yang lain? Kata Indon tu, semua taukey bang! Sorang kerani, supervisor, tukang tulis, dan macam - macam lagi tukangnya, tu yang sampai 8 orang! Indon tu datang pukul 9.30 pagi balik pukul 4.30 petang sebab malam nak kerja restoran pula. Pulak!

Macam mana tukang masak nak pasang tile? Nak buat waterproofing? Hebat sungguh Indon ni! Macam-macam boleh buat.

Bila sampai hari yang dijanjikan, 3,4 rumah tak boleh siap. Hari ke 8 dah minta kawan aku tandatangan pengesahan kerja untuk buat tuntutan! Kawan aku ni kata la, kerja tak siap lagi macam mana nak tanda tangan. Dah masam muka. Jurucakap yang tadi pun apa lagi, terus la bantai aku. Tak mengenang jasa katanya, ungkit balik la yang dah repair lantai rumah aku, walaupun ada dalam BQ.

Kawan aku ni pun pergi la tengok apa ka kerjanya Indon tu buat. Yang buat, tukar pintu, tombol kunci pintu, kalau yang air leaking tu, pakai silicon sealer saja. Kalau dulu tu kata nak kopek balik lantai, hempeih......

Claim? Tak tau la berapa. Tu la dia. Macam mana stadium tak runtuh! Kalau kerja-kerja buat paip ni, kerja-kerja elektrik, lansung tak mahu buat. Yang aku hairan tu, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab lansung tak nampak muka masa depa ni buat kerja. Tak dak la kata nak dok mai tengok betul ka kerja yang hampa buat ni ikut BQ yang ditetapkan. Hairan sungguh aku!

Sebagai pengajaran daripada kejadian itu, aku kena bersedia. BERSEDIA UNTUK PINDAH RUMAH, SEBELUM DITIMPA KUARTERS!






Jumaat, 15 Mei 2009

Man

Petang kelmarin ada seorang sahabat aku dari Hulu Bernam minta tolong untuk carikan catering. Dia nak tempah 60 bungkus makanan untuk anak murid isterinya yang terlibat dengan aktiviti di Sekolah Rendah Agama Sg.Choh ni. Malangnya time tu aku ada urusan di luar kawasan. Ligat juga kepala, siapa yang aku nak minta tolong. Dekat sini memang susah sikit nak cari orang yang nak masak. Nak suruh orang masak pun tak berbaloi dengan jumlah yang sedikit sangat tu.

Terlintas dalam kepala otak aku, kenapa tak minta tolong Man saja. Dia mungkin ada dekat sana dan boleh tolong aku. Punat telefon aku tekan, selang beberapa saat, suara Man dah ada dihujung talian. Dia juga ada ada kerja di Universiti Malaya, mungkin petang baru balik. Kesian pulak aku nak menyusahkan dia. Tapi, dia janji kalau dia balik awal, dia akan dapatkan nombor telefon gerai nasi ayam simpang Sg.Choh tu. Dekat sini memang terkenal la nasi ayam simpang tu.

Aku pun tak mengharap sangat la, sebab masing-masing ada kerja. Lebih kurang jam 4 petang, Pak Omar Guard telefon aku, katanya Man datang cari aku. Dia bagi nombor telefon gerai nasi ayam tu. Maka, hajat kawan aku dari Hulu Bernam tu dapat la aku tunaikan.

Begitulah sikap Man ni. Aku kenalnya dari aku mula pindah ke Sg.Choh ni. Masa tu aku menyewa rumah Haji Rashid dekat Kampung Hilir. Man dengan Mail ni ada bengkel dekat sana. Depa ni buat kabinet dapur. Dari segi kerja tangan dan finishing nya memang cantik. Dia ni cukup mudah minta tolong. Apa saja kerja yang orang suruh dia buat. Kadang-kadang kesian pulak aku tengok, tapi apakan dayanya, itulah salah satu punca rezekinya. Dia ni anak yatim piatu. Masa kecil dulu dapat perintah makamah dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Semasa umur 12 tahun, dia telah mengenali Islam dan mengucap dua kalimah syahadah di bawah bimbingan Ustaz Zainal Abidin Sakom(Bekas ADUN Batang Kali). Setelah keluar dari Boy's Home tu, kerja dengan Dato' Adnan Buyong. Macam-macam la kerjanya, tapi yang bestnya, gaji hanya RM8 saja sehari pada masa tu.

Man ni membesarkan 7 orang anaknya dengan pendapatan lebih kurang, dan kebanyakannya kurang RM1000.00. Masa la ni, duduk di kawasan macam ni dengan gaji banyak tu, apala nak boleh buat. Tapi, itulah janji tuhan, setakat mana yang dijanjikanNya, cukup untuk disuap mulut anak-anaknya. Mungkin tak semewah orang, tapi cukup makan dan pakai.

Man boleh tukang rumah, pasang lampu elektrik, buat paip, bawa lori pindah rumah, cari buluh lemang, gali liang lahat kalau ada kematian, kadang-kadang jadi pembantu jurulatih bola untuk pasukan Man Mok! Pendek kata, apa saja yang orang terlintas nak minta tolong, boleh saja.

Kadang-kadang aku termarah dekat dia, dia cakap "Jangan marah la bang, kalau tidak saya tak jadi la tukang kayu ni" Sedih la pulak aku. Tapi yang syoknya, jika ke mana-mana dengan dia, ada orang India cakap dengan dia, lepas tu orang India tu pasti cakap dekat aku, "Apa la kawan abang tu, belagak, tak nak cakap India" Pada hal, sepatah haram pun dia tak tau cakap walaupun tengok ke jenisnya, memang la sama spesisnya!

Ada pepatah "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Aku rasa memang tepat la dengan kehidupan Man ni. Walau macam tu pun,dia tak pernah menadah tangan meminta belas ikhsan orang. Rezekinya esok hari hanya Allah yang tahu.

Wak Samsul yang potong rumput tu bagi gelaran Man ni "Orang PKR" Maksudnya "Pemuda Kerja Rajin!"


Ahad, 10 Mei 2009

Kusut Dan Berserabut.

Tidak semestinya pemimpin itu mempunyai kelulusan yang tinggi baru boleh memimpin, dan tidak juga yang rendah taraf pendidikan itu jugak tidak boleh memimpin. Tetapi kita harus ingat, lumrah manusia dan hukumnya alam ini! Orang yang mempunyai sekeping kertas yang mengakui tahap pendidikan seseorang itu dipandang cukup tinggi dan disanjung sebagai pemimpin. Tidak dapat kita nafikan, biasanya golongan inilah yang cerdik dan sudah tentulah berkebolehan untuk memimpin.

Jika kita lihat sinario politik Tempoyak (pinjam kata-kata MSO) tu, semuanya cerdik-cerdik belaka. Baik daripada kepala negerinya hinggalah kepada Menteri-menteri Besarnya. Sorang tu Dr manakala sorang lagi tu Ir, manakala kepala negerinya juga pernah menyandang pangkat tertinggi di dalam satu jawatan dalam negara kita ni. Anak dia juga bukan calang-calang, ada Dr juga! Pendek kata semuanya cerdik-cerdik belaka! Orang yang depa nak perintah ni pula, golongan biasa saja, kalau dibuat kajian saintifik la kan, rasa aku 20% la kot yang ada Phd atau Doktor, yang lainnya kebanyakan macam aku ni saja la kot.

Bila kita tengok apa yang berlaku pada 7 Mei yang lalu, aku rasa cukup sedih, malu dan rasa cukup hina. Sedih mengenangkan bangsa aku yang begitu kemaruk dengan kuasa dan nafsu serakah hingga hilang harga diri; malu, malu kerana mereka telah mengkhianati amanah daripada rakyat dan orang ramai yang menaruh harapan terhadap mereka; hina, hina kerana orang yang kita anggap payung bangsa begitu sukar untuk membuat satu keputusan yang terbaik pada saat-saat yang sangat-sangat diperlukan.

Bagi aku, kemelut yang berpanjangan itu boleh diselesaikan dengan mudah pada 7 Mei tu. Cuba kita bayangkan, perasmian sidang tu boleh dilakukan setelah 5 jam tertangguh akibat "peperangan" anggota-anggota dewannya.

Jika daripada mula peperangan itu, perasmi itu masuk terus ke dalam dewan dan terus bertitah " Kenapa dengan ahli yang berhormat semua ini? Ini negeri saya. Saya hendak semua ahli dewan hormat pada dewan, tunjukkan tingkahlaku yang baik. Orang yang bertanggung jawab, sila jalankan tanggungjawab kamu untuk menjalankan amanah rakyat di dalam dewan ini".

Aku sangat yakin, semua orang akan tunduk hormat kepada perasmi itu. Tak akan ada seorang pun rasa aku yang akan cuba melawan dia! Yakin la.

Kan boleh selesai!

Apa macam? Ada berani? Itu pandangan orang bodoh macam aku nie la.......



Jumaat, 1 Mei 2009

Malaysia Boleh !

Tersentuh hati aku bila membaca satu catatan di dalam blog "Kedahlanie" tadi. Kisah tentang seorang bapa yang sanggup "menjatuhkan" harga dirinya semata-mata untuk mendapatkan setin susu untuk anak yang berumur 2 tahun. Bapa itu sudah kehabisan ikhtiar untuk mendapatkan wang bagi membeli susu anaknya kerana sudah kehabisan wang belanja. Tak dapat aku bayangkan bagaimanakah perasaan bapa itu untuk meminta tolong kepada orang asing yang lansung tidak dia sendiri kenal. Cuba kita bayangkan jika kita sendiri mengalami perkara yang sama.

Bila bercakap bab susah ni, aku sendiri dibesarkan dalam dunia yang penuh dengan keperitan hidup. Bapa aku cuma seorang penoreh getah, manakala mak aku pulak tak mampu untuk menolong kerana dia ada penyakit lemah jantung.

Seusia 10 tahun aku dah "mangli" dengan motong getah ni. Bukan setakat toreh biasa, tetapi pakai tangga kayu silang yang dibuat daripada kayu Pokok Mengkerai. Kadang-kadang pakai pisau yang hulunya disambung panjang kerana "daun" toreh tu dan tinggi. Kalau nak kira, dah peringkat PhD dah aku motong ni!

Pendapatan harian ayah aku waktu tu cuma RM5 sehari. Wang itulah yang nak bagi aku belanja sekolah, wang itulah nak beli beras, gula, kopi, wang itu jugalah nak bagi kakak dan adik aku sekolah. Pada masa tu sekati getah cuma 3 kupang. Pada waktu itu, aku sekolah sesi petang. Bangun pagi ke kebun untuk tolong ayah motong dulu. Pukul 10.30 bawa sekerap jual dekat jalan kampung Jerai. Kalau timbang 8 kati, kena potong sekati pasai basah. Pulak....... Itulah yang aku ambil sikit buat belanja. Biasanya seringgit kalau naik bas kerana tambang bas 2 kupang 5 duit. Pergi balik 5 kupang. Belanja nanti 5 kupang. Biasanya tak sempat pun nak makan tengah hari kerana balik jual sekerap tu dah nak ke sekolah. Kalau larat, atau tertinggal bas kayuh basikal lah jawabnya. Dari rumah aku nak ke pekan Jeniang tu dalam ada 6 batu ( lebih kurang 9 kilometer).

Bab makan, tak ada menu khas. Apa yang penting perut kena isi. Sarapan pagi, kalau ada pisang awak yang mengkal tu, direbus, cicah dengan nyor kukur. Pendek kata apa yang ada saja la. Pucuk Pokok Gelenggang Kecil yang biasanya tumbuh meliar di tepi sungai, lembu pun tak makan, pun jadi sayur. Ubi keladi Kemahang yang batangnya gatal nak makan, pun boleh direbus. Apa saja yang tumbuh disekeliling rumah yang tak memudaratkan, maka boleh la dibuat sayur. Kalau hari raya la best sikit, sebab boleh beli susu tin (susu pekat manis tu) buat cicah ketupat dengan bancuh air kopi susu! Hari raya la katakan.......

Waktu malam, guna pelita minyak tanah saja. Tapi waktu tu tak ada pun nak kisah pasai jelaga ka nanti batuk ka. Seingat aku, kalau batuk kuat, ambil minyak tanah daripada sumbu pelita tu, kemudian sapu dekat kerongkong, insya-Allah nanti berkuranglah batuknya.

Tapi harus ingat pada waktu itu awal tahun 80an, dan persekitaran aku di kampung. Cerita yang aku baca tadi tu dekat Bagan Ajam, Pulau Pinang. Dalam pekan. Bapa budak tu kerjanya cuci kontena. Berapa sangat la upah yang dapat. Sekarang ni kerja apa yang boleh dia nak buat, kalau nak kerja dekat stesyen minyak pun Bangla penuh, berlagak jadi taukey lagi, nak kerja dekat kilang, Veitnam penuh, nak kerja di ladang kelapa sawit, Myanmar "konker", nak kerja "kontrak" Indon meremut. Nak berniaga kecil-kecilan, orang Acheh merata. Jadi mana dia nak kerja?....... Kita seharusnya berterima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana atas daya usaha merekalah maka sampai tak ketahuan bangsa apa yang ada dekat Malaysia sekarang ni. Semua peluang pekerjaan, baik yang kecil-kecilan atau pun industri malah perniagaan kecil-kecilan pun semua dapat dekat "makhluk asing" ni.

Terima kasih Pak Lah, terima kasih Najib...... Jasamu tetap dikenang!

Khamis, 30 April 2009

Rezeki Kita....

Agak lama aku tak menulis. Masa terasa terlalu singkat sekarang ni. Banyak kerja yang tidak dapat diselesaikan dalam masa yang kita kehendaki. Itu menunjukan umur kita semakin pendek! Banyak perkara menarik untuk aku catatkan namum semuanya terbatas kerana mungkin aku sudah tidak begitu mahir untuk menguruskan masa sekarang ni. Bukannya masa itu semakin singkat.

Baru-baru ni ada seorang kawan aku bercerita tentang untung nasibnya bekerja makan gaji. Dalam dunia yang penuh dengan "pijak-memijak" untuk naik ke atas, macam-macam boleh berlaku. Kekadang perkara yang tidak terlintas pada fikiran kita pun boleh berlaku. Bukannya sekali aku dengar cerita macam ni, malahan sudah berkali-kali.

Aku kenal kawan ni pun agak lama juga, hampir sepuluh tahun la kot. Masa aku kenalnya pun dulu cerita ini juga yang berlakunya. Dengan ayat mudahnya"pisang berbuah berkali-kali" la. Masa sebuah sekolah baru dibuka di kawasan ini, dialah antara yang menjadi orang yang pertama "memugar" tapak sekolah itu. Tebang pokok kecil dan besar, bersih segala semak samun, "memerun"segala ranting hinggalah jadi "kampung halaman". Bila nak bina "rumah" saja, orang datang "halau"! Maka pindah randah la balik ke sekolah lamanya. Maka, orang yang "diarahkan" datang tu pun cuci "kaki tangan" saja. Semuanya telah siap! Ingatkan itulah kali pertama dan terakhir untuk kawan aku ni, rupanya itulah yang permulaan dan ada yang berikutnya!

Sekali lagi, sejak bulan 12 tahun lalu, kawan aku ni diberikan tanggungjawab sebagai "care taker" dekat sebuah sekolah yang baru selesai dibina di daerah aku ni. Mulanya memang la dia tak nak pergi kerana katanya nak berhenti. Pencen awal! Setelah dipujuk dengan kenaikan pangkat, akhirnya dia pun termakan juga la ......

Maka bekerjalah kawan aku ni hingga tak ingat lagi bulan 12 tu cuti sekolah. Orang lain "melentang" cuti, dia duduk la dekat sekolah "barunya" menyelesaikan segala tanggung jawab yang diberi. Bukan dia seorang sahaja. Ada dua orang lagi "kawan-kawannya". Mereka pun dijanjikan juga untuk kenaikan pangkat dan jawatan hakiki. Ada pun dengan penuh harapan menggunung, maka tiada lain, melainkan tersenyumlah mereka mengenangkan segala janji yang diberikan.

Setelah semuanya selesai, bila sekolah tu nak buka baru-baru ni, maka sampailah takdir, datanglah "tiga orang" yang telah diangkat dengan tauliah, bukan janji untuk menggantikan mereka bertiga tadi. Disampaikan arahan untuk mereka balik semula ke jawatan asal, atas alasan mereka tadi tidak memohon untuk ke jawatan tersebut! Maka tergangga la mulut mereka melopong ibarat mengharap janji-janji pilihanraya!

Apa perasaan mereka? Cuba kita letak diri kita di tempat mereka! Cuba orang yang buat keputusan itu jadi diri mereka!

Aku sedih sungguh bila mendengar cerita dia ni. Sanggup depa buat macam tu. Tak memohon itu bukanlah alasannya. Jika dahulu mereka sanggup "angkat" dengan janji, apa salahnya mereka yang "uruskan" permohonan itu, yang sudah tentunya mereka bertiga tadi lebih daripada layak dan sudah terbukti dengan segala kerjanya! Apa yang "menarik" di sini, orang yang datang itu semuanya ada "kaitan" dengan pejabat pendidikan daerah.

Begitulah manusia menilai manusia, hanya atas sekeping kertas yang dinamakan borang, maka hati, perasaan, iman dan kemanusiaan digadaikan.

Cerita yang sama juga berlaku kepada seorang kawan aku yang sekarang ni menjadi seorang guru biasa di Sekolah Kebangsaan Serendah. Urutan ceritanya sama, cuma wataknya saja yang berbeza.

Kita perlu sentiasa ingat, kalau rezeki tu kita yang punya, masuk ke dalam mulut orang pun keluar balik. Tetapi sekarang ni, manusia yang "mengagihkan" amanah Allah tu yang menentukannya siapa yang layak dan siapa yang tidak!

Bagi aku, sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ni. Nampak sangat begitu hina bidang cikgu ni. Cakap bukan main berdentum-dentum, masalah sendiri pun tak terbuat!





Sabtu, 7 Mac 2009

"Masin Mulut"

Tidak berapa lama dulu aku ada tulis tentang PPSMI ni. Orang Kedah kata "masin mulut", bila mana semalam berduyun-duyun rakyat jelata melahirkan perasaan kecewa dengan perlaksanaan dasar pelajaran ini. Aku ingat akulah orang yang paling "capoi" mulut, komen dasar kerajaan tentang perlaksanaan PPSMI ini. Rupa-rupanya berjuta lagi bersependapat dengan aku. Sudah lama bergelodak dalam dada, dan akhirnya terpacut keluar juga"muntah" dan "nanah" dari lohong mulut manusia yang menamakan mereka sebagai orang melayu, yang bangga bertutur dengan bahasa melayu, yang selesa berbincang dan berbual dengan bahasa melayu!

Realitinya, orang sekarang kurang bangga dengan bahasa kita sendiri. Mereka akan lebih megah dan bangga jika boleh bercakap bahasa Melayu dengan disulam bahasa Inggeris. Semasa mesyuarat PIBG sekolah anak aku baru-baru ni, ada seorang ibu tu yang dah tak boleh bercakap bahasa Melayu. Pelat Inggeris habis. Aku rasa saja nak tunjuk tahap pendidikan dia kononnya. Nak orang cakap "golongan berpendidikan" Beli rumah pun kawasan "hulu banat" kena tipu dek pemaju dengan lagu P.Ramlee saja! Jalan masuk ke kawasan rumah disambut dengan kera monyet bergayutan .......Pungkoq pun "meghelit" pelat! Pelat Orenggg putisss kononnnn..........

Kata orang -orang tua dulu:
Yang kurik itu kendiri,
yang merah itu saga;
Yang elok itu budi,
yang indah itu bahasa.

"Bahasa Mencerminkan Bangsa"

Daripada tuturkata dan bahasanya pun kita sudah tahu bagaimana nilai diri dan perwatakan seseorang itu. Kita bangga dengan bahasa asing yang kata ganti dirinya untuk panggil ibubapa dia "you" daripada bahasa kita yang tahu taraf hormatnya kepada orang yang seharusnya kita hormat.

Pemimpan yang malaksanakan dasar ini apa peduli, kerana semua ini adalah duit. Kalau tak mereka yang dapat, kroni yang dapat, sekupang dua tentu ada habuan punya! Kerat jari la kalau tak betui! Untuk melaksanakan PPSMI ini menelan belanja berjuta-juta! Duit kita yang bayar cukai. Duit kita yang dijadikan "racun" untuk masa depan anak-anak kita terutamanya orang-orang melayu. Cuma Melayu "Bangsat" dan "Batat" saja yang menyokong PPSMI ni.

Cakap pasai Melayu bergegar-gegar! Cium keris la...... macam-macam. Pirahhhhh mabukkkkk. Bahasa yang menjadi lambang bangsa pun hang tak terjaga, nak cakap banyak. Tu yang berbuih kemutih tepi mulut, sapu dulu baru bercakap pasai bangsa Melayu!


Khamis, 12 Februari 2009

Harga Diri

Sekarang ni agak reda sikit tentang keadaan politik di Perak. Dua minggu yang lalu cukup panas, dan semua orang aku pasti mengikuti apa yang berlaku.

Aku ni memang tak pandai pasal politik, apatah lagi nak komen-komen. Walau macam mana pun, aku telah 3 kali menunaikan tanggungjawab aku sebagai warganegara dengan keluar mengundi. Kata orang undi tu adalah rahsia, betui ka?


Dalam memilih pemimpin, sebagai seorang islam, kita telah diberikan garis panduan. Dah lama dah ciri-ciri seorang pemimpin yang perlu kita pilih ni anak-anak kita dan kita sendiri belajar di sekolah rendah lagi. Kalau kita nak beli ikan ka, sayur ka, pandai pula kita pilih yang elok-elok. Tak mau yang busuk. Macam tu juga dengan pilih pemimpin ni. Depa dok meraung "kita pilih parti, jangan pilih pemimpin". Maka bertepuk tangan la semua penyokong yang sedia ada. Betui ka macam tu? Esok, malaikat dalam kubur yang soal kita tanya,"Hang parti apa?" Kalau parti memerintah kot ringan sikit la seksaannya. Mai yang pembangkang, kena hayun kuat sikit la kot, sebab pembangkang, semua orang tak betul.(Depa kata la)

Aku pegang satu saja, macam ustaz aku cakap. Yang pertama mesti Islam. Adil. Bijaksana.Berilmu. Yang terbaik di kalangan kita. Sampai satu peringkat, kalau dah semuanya sama," handsome" pun boleh di kira sebagai salah satu ciri. Sampai macam tu punya rumitnya pilih pemimpin ni.

Kalau dah kita pilih yang dah masuk kategori durian boleh buat "tempoyak", hang cicah la sendiri. Bila mai ujian sikit, mula tak ketahuan. Tak dak iman. Integriti tak dak. Jati diri lansung hilang. Pemimpin macam tu yang sanggup khianat kepada orang bawahan dia. Buat keputusan atas dasar perut sendiri dulu. Pada pendapat aku orang macam ni tak ada agama, kalau ada pun hanya tertulis atas surat beranak dengan Kad Pengenalan saja.

Kalau aku, malu, sebab tak dak maruah dan harga diri. Sapa yang letak kita duduk tempat sekarang ni kalau bukan orang ramai? Orang ramai tu pulak bukan orang lain, mungkin depa saudara mara kita, jiran tetangga, dak pun orang yang kenal dengan kita. Bila kita bagi amanah, dia khianat, janji nak tolong bawa masalah rakyat dia tak tepati, kira boleh masuk golongan munafik ni !Lain la kalau yang bertanding tu mai dari Johor, bertanding dekat Sg.Siput. Pulak tu pungkoq merelit pun depa sokong. Bila menang, junjung la yang "merelit" tu. Dah sah awai-awai lagi masuk kategori.

Tapi, masih ada lagi orang yang sanjung depa ni. Diangkat sebagai wira lagi! Tu la, nampak sangat kita lemah! Lemah daripada segi fikiran, lemah daripada segi nilai-nilai kemanusiaan, dan penting lemah daripada segi agama kita. Islam!

Sabtu, 31 Januari 2009

Hebatnya Bahasa Orang

Semalam ada perhimpunan untuk membantah PPSMI iaitu dasar pendidikan kita. Dasar yang telah disuruh pakai oleh kementerian pendidikan sejak 8 tahun yang lalu. Rasanya semua orang tahu tentang dasar pelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar matematik dan sains.

Ramai juga pejuang bahasa Melayu yang turun untuk sama-sama menunjukkan perasaan "simpati" mereka terhadap bahasa Melayu yang kian "ngayut" (kata cerdik pandai yang mengubah dasar pendidikan tersebut). Bahasa Melayu ini tidak boleh daulatkan sebagai bahasa ilmu kerana kononnya hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh menjadi jambatan untuk menguasai ilmu. Bahasa Melayu juga tidak sesuai untuk dijadikan bahasa perpaduan, sebab itulah bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia. Kadang-kadang aku sendiri pun pening kepala, apabila anak-anak bertanya, yang mana satu betul, nak guna bahasa Melayukah atau bahasa Malaysia. Bahasanya sama tetapi namanya ada dua. Kalau dulu boleh juga tanya Memanda Mamak Maideen, tapi sekarang nak tanya kepada siapa? Haru biru juga pasai nama saja.

Mungkin aku tak ada sarjana dan apa-apa kertas yang mendapat pengiktirafan dari mana-mana universiti, sebab itu rasanya tidak layak untuk memperkatakan tentang bahasa melayu ini. Semua pendapat mestilah daripada cendikiawan dan sarjana bahasa. Aku ni hanya pengguna bahasa melayu ini sebab datuk nenek, ibu dan bapa aku semuanya guna bahasa melayu. Beranak saja terus mak aku cakap bahasa melayu. Bila zaman budak-budak, belajar bahasa siam sikit-sikit(sekarang dah lupa).

Kebanyakkan ilmu ini kalau tak salah akulah berasal daripada dunia Islam. Bahasa yang digunakan kebanyakannya bahasa arab. Sebab itu bahasa yang afdal dipelajari ialah bahasa arab. Orang barat tu ambil ilmu tersebut dan terjemahkan dalam bahasa mereka, ditokok tambah jadi lebih baik dan dapat diterima oleh semua bangsa. Kita cuma bangga dengan tokoh-tokoh ilmuan islam kita sahaja, tetapi tak pun bangga dengan bahasa yang mereka guna.

Kadang-kadang buat kita ketawa orang cerdik pandai ni, bahasa Melayu sebagai bahasa penggantar di sekolah kebangsaan, ajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Di luar pulak terjerit-jerit sampai terkeluar anak tekak suruh memertabatkan bahasa Melayu! Gila ka apa ni! Kacau-bilau betul, macam juga parti yang memerintah sekarang ni. Samalah sebab merekalah yang buat dasar ni!

Kasihan dekat anak-anak Melayu kita. Kerana politik mereka menjadi mangsa. Kesannya 5,6 tahun lagi. "Kunci" kepada kemajuan bangsa itu sendiri telah "dicampak". Adakah dengan berbekalkan gred C dalam matematik dapat ambil jurusan akaunten di IPTA atau IPTS? Matematik dan sainslah yang sangat penting dalam ilmu hari ini. Nak jadi tukang rumah pun kena tahu kira berapa panjang kayu, berapa biji batu-bata. Apalah yang anak-anak kita nak lakukan esok-esok nanti jika ditakdirkan tidak berjaya dalam pelajaran? Nak Kerja buat rumah Indon dah berkenjah, nak kerja pan minyak, Bangla dah berlagak jadi taukeh, nak berniaga tepi jalan, Acheh dan "konker", kerja dekat ladang dan kilang Vietnam penuh. Tak lain tak bukan, jadi peragut dan juga "Mat Rempit" la jawabnya. Terima kasih banyak-banyak kepada pemimpin yang telah banyak berjasa kepada bangsa kita!

Kadang-kadang aku rasa cemburu kepada kawan-kawan bangsa asing. Depa ni boleh sekolah dengan bahasa depa. Belajar matematik dan sains pun ikut masa tertentu guna bahasa Inggeris dan yang lebihnya bahasa depa. Bertutur dengan bahasa depa, tak dak dok kempen merata-rata. Jadi, apa yang lebihnya bangsa melayu kita.

Betul la juga, soalan periksa buat dalam dwi-bahasa, tetapi semuanya kerja ni gila! Bercempera merata dalam kepala anak-anak kita! Jadi keliru, penuh caca-merba, ibarat atas kepala penuh reba. Bila jadi macam ni nak disalahkan siapa? Pemimpin kata salah mak bapa la, kenapa tak dipantau anak-anak hampa, sebab tu jadi tak ketahawan hala! Yang mak bapa ni pun tak tau nak kata apa, anak-anak dah bercempera, semua pakat-pakat terlopong, ternganga...........

Rabu, 21 Januari 2009

Masa Telah Berubah.

Sudah masuk 3 minggu anak-anak kita bersekolah dalam sesi 2009 ni. Sepanjang tempoh itu juga aku ni sibuk menguruskan hal-hal berkaitan anak-anak. Seorang tu dah masuk sekolah menengah, manakala seorang lagi di tahun 6 sekolah kebangsaan dan bakal menduduki UPSR tahun ini.

Semasa anak aku yang sulung dulu ambil UPSR, pencapaian di sekolahnya meningkat 100%! Tahun 2007 cuma 15 orang dapat 5A, tetapi tahun ni, 30 orang murid! Kalau kita masih ingat, Menteri Pelajaran kita cakap tempoh hari, tahun ini adalah sejarah kerana pencapaian UPSRnya adalah yang terbaik sejak 5 tahun yang lalu. Dan, apa yang paling penting ialah berjayanya dasar kerajaan dalam memperkenalkan PPSMI (gunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik). Kononnya. Konon-kononnya la.........

Anak aku ni dapat 2A, 2B dan 1C sahaja. Buat masa ini, itu sajalah kemampuannya. Kalau aku sendiri pun belum tentu nak dapat macam tu! Cuba kita bayangkan kehidupan anak-anak kita hari ini. Bangun pukul 6.00 pagi.Uruskan diri untuk ke sekolah kebangsaan hingga pukul 1.30 tengah hari. Tak sempat balik ke rumah, tukar baju dan mandi serta, makan ala kadar saja, terus pula ke sekolah agama! Balik dah pukul 6.00 petang. Sampai rumah pukul 7.00 malam! MALAM ! Pukul 8.00 ke tuisyen pulak. Balik pukul 10.30 malam. Masa tu lah nak siapkan kerja rumah, nak buat persiapan untuk ke sekolah esok pagi. Kalau tertinggal buku, atau tak siap kerja rumah, dah kena marah dengan guru pula! Kita yang dewasa ni pun kalau balik pejabat pukul 5.00 tu dah terbongkang letihnya. Pantang anak bersuara sikit, terus tengking. Anak-anak kita tak ada masa rehat lansung, jauh sekali untuk bermain. Jika tak dihantar ke sekolah agama, aku sendiri pun tak mampu nak mengajarnya, sirahnya, tajwidnya, dan lain-lain lagi. Kalau main tu, kita anggap anak kita buang masa. Ada sesetengah ibu bapa yang hantar anak-anak mereka ke 2, 3 pusat tuisyen.

Aku ada terbaca satu rencana. Kata penulisnya, bermain tu dapat membina 90% keperibadian dan pertumbuhan mental kanak-kanak. Dengan bermain kanak-kanak akan jadi lebih kreatif, berani, cekal, sifat ingin tahu dan lain-lain nilai yang agak sukar untuk kita ajar secara ilmiah. Walaupun ada kegiatan kokurikulum di sekolah, tetapi sejauh manakah keberkesanannya? Mampukan guru-guru yang mengajarnya menerapkan nilai-nilai ini dengan hanya merancang atas kertas!

Kita semua pernah mengalami alam kanak-kanak. Dulu, kita main lastik, buat jerat burung merbah, memancing ikan, kutip buah-buah hutan makan, menimba ikan, main baling kasut dan macam macam lagi. Anak aku sekarang ni kerbau jantan dengan betina pun kena bagitahu, yang mana jantan, yang mana betina. Semua binatang terbang dia kata burung. Kelawar dengan keluang pun tak kenal. BATMAN katanya. Padi kata beras!

Apa pun semua ini adalah tuntutan semasa. Zaman dah berubah. Mahu atau tidak, kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Tetapi kita perlu ingat, alangkah ruginya kita nilai-nilai sepeti itu kita harus korbankan demi menyesuaikan diri dengan keadaan. Sepatutnya kita perlu mencari jalan supaya nilai-nilai tadi tetap kekal dan masa bergerak seiring dengannya
.

Khamis, 1 Januari 2009

Tali Oh Tali.......

Maka pada hari ini, dengan penuh rasa bangganya pihak berkuasa mengumumkan sebanyak 242 saman telah dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar. Setelah 6 bulan kempen dijalankan, dan setelah 2 minggu diberikan amaran, maka semalamlah berkuatkuasanya.

Apa yang pasti, hanya pihak bertanggungjawab sahaja yang ada statistik tentang kemalangan yang melibatkan kemalangan maut akibat daripada tidak memakai tali pinggang kaledar bagi penumpang di belakang.Mungkin terlalu banyak sebab itulah kesalahannya terlalu besar sehinggakan apabila dikuatkuasakan sepenuhnya nantikan akan didenda sejumlah RM2,000.00 atau 1 tahun penjara jika disabitkan kesalahan. Fhuiiiiiyooooooo...... Sangat bahaya!!!!!!

Tapi bahayanya ni pulak boleh dipilih-pilih. Kalau kenderaan yang dipasang sebelum tahun 1995 sangat tidak bahaya buat masa ini, tetapi ingat, 3 tahun lagi barulah jadi sangat bahaya. Kalau bas pun, penumpang belakangnya tidak juga bahaya. Yang baru-baru ini meninggal 10 orang kemalangan bas tu cuma boleh dikelaskan sebagai mati mengejut dan tidak disengajakan! Nak mati la katakan.......

Kalau naik keretapi pun sepatutnya kena pakai tali pinggang juga, sebab kenderaan darat ( pendapat aku la ), tapi keretapi tu panjang, bila 'eksiden' kepala la dulu kena. belakang boleh la selamat kot. Kot-kot la....

Dengar cerita, Syarikat PERODUA sahaja membelanjakan sejumlah RM61 juta untuk memasang semua model bagi kenderaannya yang telah dikeluarkan tanpa tali pinggang. Proton? Kalau pakai tali pisang boleh ka buat tali pinggang ni? Pakai tali rafia kuat sikit kot! Beli dekat kedai Sundar pun boleh!

Masa berita tadi, nampak ada berita bergambar. Adalah anak-anak yang duduk dibelakang sebuah kereta seramai 4 orang. Yang 3 orang tu pakai, lagi sorang tak pakai, tapi bila temuramah dengan bapanya, dia kata"Baguih, kempen ni, boleh selamatkan nyawa. Kita kena bantu mengurangkan kadar kemalangan maut ni". Yang anak dia tak tali pinggang sorang tu, macam mana kira?

Kalau kita naik kapal terbang pun, bila dah naik, kapten dia kata boleh buka tali pinggang. Nanti nak turun, kena la pakai balik. Kalau ikut-ikutkan peraturan, kena belit sampai ke tengkuk! Bukan boleh jangka bila kapal terbang tu nak jatuh. Terbanglah katakan, bukan atas darat!

Aku rasa semua orang pernah memandu atas lebuh raya. Cuba kita lihat sikap pemandu bas-bas ekspres. Kalau kita dalam kelajuan 110km/j, dia selamba saja memotong kita. Kes-kes macam ini biasa terutama bas ekspres ke pantai timur. Berapa agaknya kelajuan mereka? Begitu juga dengan kenderaan besar sepeti lori dan tidak kurangnya kereta yang dipandu anak-anak muda yang ekzosnya baya peha kita ni. Bukan 110km/j, tetapi darab dua.

Mungkin mereka semua memakai tali pinggang yang harganya lebih mahal, sebab itu kalau kemalangan mereka tidak kisah. Garenti selamat punya! Kalau pakai tali kambing tu la yang 'padam'.

Mungkin 'Ops Sikap' pada tahun ini nanti akan mengurangkan dengan drastik statistik kemalangan maut ni apabila semua dah pakai tali pinggang. Kalau ada anak 4 orang, pastikan yang seorang itu dihantar ke destinasi yang hendak dituju melalui kiriman Pos Laju terlebih dahulu, kerana kereta hanya untuk 5 orang sahaja. Pos Laju pun dah okey sekarang ini, Kata Samy Vellu "Hari ini pos, semalam suda sampei" Jika tidak, sila buat ulang-alik Kedah Kuala Lumpur sebanyak 2 kali untuk setiap perayaan atau kecemasam yang lain.

Semasa kajian yang dijalankan dahulu itu, mungkin responden yang jawab soal selidik tu tak jumpa item 'SIKAP' kot nak ditanda atau mungkin orang cerdik pandai yang mengkaji tu tak terfikir atau tak terlintas dalam fikirannya bahawa faktor sikap para pemandu juga boleh menyumbang kepada kemalangan maut (pendapat kurang cerdik aku la yang tak ada kelulusan dan jawatan seperti Datuk Sigh tu ).

"Selamat memandu, dan jangan lupa memakai tali pinggang keledar"