Jumaat, 15 Mei 2009

Man

Petang kelmarin ada seorang sahabat aku dari Hulu Bernam minta tolong untuk carikan catering. Dia nak tempah 60 bungkus makanan untuk anak murid isterinya yang terlibat dengan aktiviti di Sekolah Rendah Agama Sg.Choh ni. Malangnya time tu aku ada urusan di luar kawasan. Ligat juga kepala, siapa yang aku nak minta tolong. Dekat sini memang susah sikit nak cari orang yang nak masak. Nak suruh orang masak pun tak berbaloi dengan jumlah yang sedikit sangat tu.

Terlintas dalam kepala otak aku, kenapa tak minta tolong Man saja. Dia mungkin ada dekat sana dan boleh tolong aku. Punat telefon aku tekan, selang beberapa saat, suara Man dah ada dihujung talian. Dia juga ada ada kerja di Universiti Malaya, mungkin petang baru balik. Kesian pulak aku nak menyusahkan dia. Tapi, dia janji kalau dia balik awal, dia akan dapatkan nombor telefon gerai nasi ayam simpang Sg.Choh tu. Dekat sini memang terkenal la nasi ayam simpang tu.

Aku pun tak mengharap sangat la, sebab masing-masing ada kerja. Lebih kurang jam 4 petang, Pak Omar Guard telefon aku, katanya Man datang cari aku. Dia bagi nombor telefon gerai nasi ayam tu. Maka, hajat kawan aku dari Hulu Bernam tu dapat la aku tunaikan.

Begitulah sikap Man ni. Aku kenalnya dari aku mula pindah ke Sg.Choh ni. Masa tu aku menyewa rumah Haji Rashid dekat Kampung Hilir. Man dengan Mail ni ada bengkel dekat sana. Depa ni buat kabinet dapur. Dari segi kerja tangan dan finishing nya memang cantik. Dia ni cukup mudah minta tolong. Apa saja kerja yang orang suruh dia buat. Kadang-kadang kesian pulak aku tengok, tapi apakan dayanya, itulah salah satu punca rezekinya. Dia ni anak yatim piatu. Masa kecil dulu dapat perintah makamah dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Semasa umur 12 tahun, dia telah mengenali Islam dan mengucap dua kalimah syahadah di bawah bimbingan Ustaz Zainal Abidin Sakom(Bekas ADUN Batang Kali). Setelah keluar dari Boy's Home tu, kerja dengan Dato' Adnan Buyong. Macam-macam la kerjanya, tapi yang bestnya, gaji hanya RM8 saja sehari pada masa tu.

Man ni membesarkan 7 orang anaknya dengan pendapatan lebih kurang, dan kebanyakannya kurang RM1000.00. Masa la ni, duduk di kawasan macam ni dengan gaji banyak tu, apala nak boleh buat. Tapi, itulah janji tuhan, setakat mana yang dijanjikanNya, cukup untuk disuap mulut anak-anaknya. Mungkin tak semewah orang, tapi cukup makan dan pakai.

Man boleh tukang rumah, pasang lampu elektrik, buat paip, bawa lori pindah rumah, cari buluh lemang, gali liang lahat kalau ada kematian, kadang-kadang jadi pembantu jurulatih bola untuk pasukan Man Mok! Pendek kata, apa saja yang orang terlintas nak minta tolong, boleh saja.

Kadang-kadang aku termarah dekat dia, dia cakap "Jangan marah la bang, kalau tidak saya tak jadi la tukang kayu ni" Sedih la pulak aku. Tapi yang syoknya, jika ke mana-mana dengan dia, ada orang India cakap dengan dia, lepas tu orang India tu pasti cakap dekat aku, "Apa la kawan abang tu, belagak, tak nak cakap India" Pada hal, sepatah haram pun dia tak tau cakap walaupun tengok ke jenisnya, memang la sama spesisnya!

Ada pepatah "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Aku rasa memang tepat la dengan kehidupan Man ni. Walau macam tu pun,dia tak pernah menadah tangan meminta belas ikhsan orang. Rezekinya esok hari hanya Allah yang tahu.

Wak Samsul yang potong rumput tu bagi gelaran Man ni "Orang PKR" Maksudnya "Pemuda Kerja Rajin!"


Tiada ulasan: