Selasa, 30 November 2010

Banggakah Kita?

Pada hujung minggu lepas, aku berkesempatan bersama keluarga ke Kuantan, Pahang kerana isteri tersayang ada urusan kerja di sana. Pada kesempatan itu, sementelah cuti sekolah, bawalah anak-anak "makan angin" sekitar kawasan tu. Salah satu destinasi yang ada ialah Sungai Lembing. Dah lama aku teringin sangat nak ke sini. Selama ni dok baca artikel saja. Nak tengok dengan mata kepala sendiri kawasan tu. Alhamdulillan, dengan izin-Nya sampai juga la hajat tu.

Memang menarik kawasan ni. Kalau ikutkan fakta sejarahnya, kawasan ini dibangunkan seawal tahun 1940-an lagi. ada satu kenyataan tu, pada masa itu, hanya dua tempat sahaja yang orang kenal di Tanah Melayu ni. Satu, Singapura dan keduanya Sungai Lembing. Kalau kita tengok kepada catatan dan bukti yang ada, memang tak dinafikan kawasan ini memang maju dan diberikan jolokkan "Bandar Eropah" di Timur.

Dari segi wujudnya lombong tu, masih ada lagi kesan sejarah yang dah dimamah usia. Banyak artifak yang sepatutnya dijaga, dibiarkan begitu saja. Contohnya terowong masuk ke lombong. Kayu penyangganya dah reput dan tidak lagi selamat untuk dimasuki. Selebihnya ada dalam muzium atas bukit bahan sejarahnya. Memang tak dapat dibayangkan dengan kepala kita tentang kehidupan pada masa itu bagi satu kawasan yang jauh terpencil daripada kawasan bandar.

Setelah lebih 40 tahun hasilnya 'dirobek' dan 'dikeruk' untuk kesenangan penjajah, maka yang tinggal sekarang 'sisa-sisa' dan bukti kebenaran cerita rangkusnya penjajah mengaut hasil mahsul kita untuk dibawa pulang.

Bagi aku, tidak ada apa yang kita boleh banggakan dengan Lombong Sungai Lembing itu, selain kesedihan belaka. Sedih mengenangkan yang sepatutnya kita merasai hasilnya itu. Mungkin untuk membangunkan negara, atau mungkin menyuap mulut anak-anak kita, atau membina sekaki dua rumah bagi mereka yang merempat. Itu pun kalau pemimpin kita mengagihkannya hasilnya sama rata untuk rakyat jelata.

Sejarah tidak pernah bohong, kecuali orang yang menceritakan itu berbohong. Bohong kepada anak bangsa supaya mudah dijual maruah diri mereka.

Tanggung jawab kita mencari apa yang benar, supaya kita tak boleh diauta!