Sabtu, 11 Julai 2009

Rakyat diUtamakan

Cuti hujung minggu lepas aku berkesempatan balik ke Kedah jenguk orang tua, mentelah pula sekarang ni musim buah-buahan. Seingat aku, pokok durian belakang rumah tu dan dekat sepuluh tahun berbuah, tapi tak pernah seulas pun merasa. Bila masa luruh saja, tak berkesempatan nak balik. Bila dah balik, semua buah dah habis. Kalau rambutan tu, biasanya kering hitam atas pokok saja la. Sekali ni, aku sekeluarga sempat la merasa durian. Buah rambutan yang mengkal sedang elok nak dijamah. Kata ayah aku, buah durian tahun ni kurang sikit manisnya. Masa 'memberat' tempoh hari, kena musim kemarau. Buah jadi macam nak mangkar.

Masa makan rambutan dekat depan rumah tu, aku 'terperasan' motosikal EX5nya masih belum bercukai jalan lagi. Bila aku tanya, katanya sekarang ni cukai jalan memang murah, cuma RM2 saja. Yang tak tahannya ialah insuran motosikal tu. Kalau motosikal yang mencecah 10 tahun, insurannya mencecah RM120! Macam mana la orang kampung yang kerjanya menoreh getah nak bayar dengan duit banyak tu. Nak beli beras ka, nak bayar insuran motosikal. Kalau macam orang tua aku tu, sehari menoreh mungkin dapat la RM10 - RM15 kot. Harga getah sekarang ni pun murah saja. Kalau nak dikirakan dengan hari boleh menoreh, dan jumlah belanja harian, mana la mampu. Teringat aku masa aku guna motosikal dulu. Insuran masa itu lebih kurang RM65 macam tu, campur dengan cukai jalan RM32. Kurang dari seratus dan ada cukai jalan dengan insuran. Kalau kita fikirkan, bukan senang-senang syarikat insuran tu nak naikkan premium kalau tak dapat persetujuan Bank Negara! Betul la........ Rakyat diutamakan!


Sebelum cuti penggal dulu tu, anak aku yang belajar di tingkatan satu bawa balik surat makluman. Kena bayar 'Bayaran Tambahan' berjumlah RM150 lebih. Masa bayar 'Bayaran Tambahan' tu, rupanya nama baru bagi Yuran. Menteri Pelajaran sebelum ni dah 'haramkan' perkataan Yuran ni rupanya. Kalau dulu tu, Yuran kutip awal tahun dengan jumlah RM4.50, sekarang ni kutip bulan Jun. Bayarannya RM150 lebih!.... Sikit punya banyak ka lari jumlahnya. Sekali lagi kita harus ingat..... Rakyat diutamakan!

Isu PPSMI yang pernah aku cerita dulu tu pun rasanya macam tu la jugak nanti jadinya. Kalau ikut statistik yang keluar masa berita dekat TV hari tu, memang la nampak sangat gagalnya. Orang 'tonggang' lagi 'banggang' pun tau, tapi yang syoknya, tahun 2012 pula nak dihentikan. Apa la punya ngok menteri kita ni, dah tau tak baguih, dok 'tebiang' juga sua kepala. Otak letak dekat kepala lutut ka, dalam tong sampah orang macam ni. Sekali lagi kita kena ingat.... Rakyat diutamakan!


Dikesempatan ini juga, aku ingain mengambil kesempatan untuk mengucapkan Tahniah kepada Perdana Menteri kita yang sungguh berjiwa rakyat walaupun hanya baru sekali kita nampak duduk bersila di lantai dalam dewan. Yang kita tak nampaknya duduk atas kerusi empuk yang macam mana dalam rumah macam mana. Tahniah kerana mementingkan kebajikan rakyat dengan menzahirkannya seperti cerita-cerita di atas tadi. Tahniah atas slogan 'Rakyat diUtamakan'

Rabu, 8 Julai 2009

Tadika

Petang semalam, bila aku melangkah masuk saja ke dalam rumah, bukan main ceria lagi anak perempuan bongsu aku datang bawa fail. Dengan mulut keletahnya dan penuh semangat dia pun bagitahu "Abah mesti baca ni, lepas tu tanda tangan. Ni yang Yaya periksa ni......". Beria-ria dia bagi tahu. "Jangan lupa, nanti abah tanda tangan tau," ingatkan aku berulangkali.

Itulah sorang-sorangnya peneman ibunya di dapur, yang lain semuanya 'hero', ikut aku memancing! Umurnya kalau dikira tahun tak sampai lima, sebab lahirnya hujung tahun. Bertubuh kecil sahaja. Bila orang tanya, la... dah lima tahun, kecil saja.... ikut ibunya.

Awal tahun dulu, bila aku daftar sahaja ke Tadika, bukan main bersemangat lagi. Tadika itu di Sungai Buaya. Dari tempat aku ni, kena naik kenderaan la ke sana. Pihak Tadika tu yang sediakan. Semua barang-barang dan alat tulis dia yang pilih sendiri. Semua nak warna pink! Jenuh ibunya cari sekitar pekan Rawang nak cukupkan korum warna pink! Selalu terpacul di mulutnya "Seronok ni Yaya nak sekolah, Yaya pun sekolah, along pun sekolah, angah pun sekolah", merujuk kepada abang-abangnya.

Kadang-kadang suami pengusaha Tadika yang bawakan anak-anak ni ke Sungai Buaya. Sering juga dia bercerita dengan aku tentang anak aku ni. "Mulutnya macam bertih, bercakap saja. Tak sangka la tengok. Anak U ni memang nak sekolah", pernah sekali dia bagitahu aku.

Bila hari pertama tu, penuh semangat. Balik saja terus keluarkan buku. "Yaya ada kerja sekolah ni, Yaya ada kerja sekolah ni....". Tulis la dia dengan bentuk yang herot-petot huruf-hurufnya. Kadang-kadang aku pun naik heran juga, macam mana la Tadika ni punya sistem. Terus saja suruh budak tulis. Tak ada ka nak buat macam kita dulu-dulu tu. Mula-mula tulis 'atas angin' buat bentuk melengkung. Lepas tu buat garisan ombak-ombak, bulat-bulat dan macam-macam lagi aktiviti yang boleh menggerakkan psikomotor budak-budak ni. Yang aku nampak Yaya ni hari-hari buat kerja dekat buku kerja yang berbeli tu. Sebab tu la beratus ringgit bayar masa daftar tu. Kata hati aku la! Aku tak la ambik pusing, sebab mungkin sistem dah berubah.

Sejak kebelakangan ni aku nampak Yaya tak begitu bersemangat nak ke Taskanya. Ada sekali tu, masa main dekat Taman Permainan dengan along dan angah, ada seorang kawannya mengejek Yaya, "Ibu, tengok Yaya tu, dia tak pandai lagi baca A, B, C ........", beritahu anak tu kepada ibunya. Along dangan angah balik cerita la dekat ibunya. Memang la, macam mana nak pandai baca, baru 3, 4 bulan kenal sekolah. "Yaya ke sekolah nak kenal kawan, nak kenal cikgu, nak tengok macam mana nak sekolah. Nanti Yaya tak la takut nak masuk darjah 1", itu alasan ibunya. Memang pun, abang-abangnya dulu tu terus saja ke Tadika sebab Taskanya sekali. Tak dak la masalah apabila ke sekolah harian nanti.

Ada juga kadang-kadang dia mengadu "Hari ni cikgu pukul tangan Yaya lagi, abah". "Yaya tak siap kerja kot?". Dia akan cakap dengan nada yang perlahan, " Yaya tak tahu, Yaya tak pandai" Bila aku dengar, naik sayu pula. Selalu aku pujuk, "Tak pa lah, lama-lama nanti Yaya pandai la, Yaya kena rajin".

Sebelum cuti pertengahan tahun baru ni, Yaya menangis tak nak ke Tadika. Naik angin juga aku, pagi-pagi hari dah buat perangai. Dia kata tak siap kerja sekolah. Aku ambik la buku tengok, apa yang tak siapnya. Masya-Allah, anak yang tak sampai 5 tahun tu disuruhnya tulis ayat "Saya suka baca buku" berulang kali untuk penuh satu muka surat dalam buku bergaris tiga! Macam mana la nak tulis, nak buat garisan lengkung dengan lurus pun terkial-kial lagi anak aku ni. Aku pun tulis la nota sikit, mohon supaya anak aku ni tak payah la tulis panjang-panjang macam tu. Minta cikgunya suruh tulis a, b, c cukup la. Mulai dari hari tu, Yaya tak ada lansung kerja rumah. Aku pun pergi 2,3 kali intai di kelasnya, duduk pun dah di belakang sekali. Sekali tu, aku tengok duduk betul-betul depan meja cikgu, mata merah berair, macam menangis saja. Yang cikgunya mengajar bukan main lagi, macam mengajar budak darjah enam lagaknya, "b, a; ba : b, i; bi..... Faham tak murid-murid!" Pheihhhh..... mengalahkan cikgu sekolah harian.


Aku bukan nak anak aku ni ke Tadika tu terus boleh membaca, menulis dan mengira. Itu semua kerja cikgu sekolah harian dan dah ada pun sukatan kurikulum untuk anak-anak ini. Sebab itulah sekolah harian ada 2 bahagian yang satu tu dikenali Tahap 1. Dalam tempoh 3 tahun di tahap 1, murid-murid akan diajar dengan asas untuk menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis, dan mengira. Tahap 2 pula, murid akan dilatih untuk mengaplikasikan ketiga-tiga kemahiran itu untuk mena'akul maklumat.

Tujuan aku hantar Yaya ke Tadika tu untuk membina kemahiran interpersonalnya. Boleh bergaul dengan kawan, tahu yang macam mana orang panggil cikgu, yang macam mana panggil makcik, sekolah tu macam mana. Aku pun tahu setakat mana la kemampuan anak aku ni.

Petang semalam hati aku sebak, perasaan sedih menusuk ke tangkai hati, menitis air mata aku tanpa aku sedari. Yaya diberikan gred "D" bagi penilaian Pergaulan dengan guru. Tidak ada yang terbaik bagi Yaya yang dinilai oleh gurunya melainkan gred "C" sahaja yang layak disandangnya. Alasan, Yaya tak mahu bercakap, tak mengenal huruf dan tak tahu membaca. Apalah yang anak kecil itu tahu...........

"Abah, abah jagan lupa tanda tangan kertas tu ya, Yaya nak tunjuk dekat along dengan angah pula ni", sayup terdengar suara keletahnya sambil melompat bangga.