Rabu, 21 Januari 2009

Masa Telah Berubah.

Sudah masuk 3 minggu anak-anak kita bersekolah dalam sesi 2009 ni. Sepanjang tempoh itu juga aku ni sibuk menguruskan hal-hal berkaitan anak-anak. Seorang tu dah masuk sekolah menengah, manakala seorang lagi di tahun 6 sekolah kebangsaan dan bakal menduduki UPSR tahun ini.

Semasa anak aku yang sulung dulu ambil UPSR, pencapaian di sekolahnya meningkat 100%! Tahun 2007 cuma 15 orang dapat 5A, tetapi tahun ni, 30 orang murid! Kalau kita masih ingat, Menteri Pelajaran kita cakap tempoh hari, tahun ini adalah sejarah kerana pencapaian UPSRnya adalah yang terbaik sejak 5 tahun yang lalu. Dan, apa yang paling penting ialah berjayanya dasar kerajaan dalam memperkenalkan PPSMI (gunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik). Kononnya. Konon-kononnya la.........

Anak aku ni dapat 2A, 2B dan 1C sahaja. Buat masa ini, itu sajalah kemampuannya. Kalau aku sendiri pun belum tentu nak dapat macam tu! Cuba kita bayangkan kehidupan anak-anak kita hari ini. Bangun pukul 6.00 pagi.Uruskan diri untuk ke sekolah kebangsaan hingga pukul 1.30 tengah hari. Tak sempat balik ke rumah, tukar baju dan mandi serta, makan ala kadar saja, terus pula ke sekolah agama! Balik dah pukul 6.00 petang. Sampai rumah pukul 7.00 malam! MALAM ! Pukul 8.00 ke tuisyen pulak. Balik pukul 10.30 malam. Masa tu lah nak siapkan kerja rumah, nak buat persiapan untuk ke sekolah esok pagi. Kalau tertinggal buku, atau tak siap kerja rumah, dah kena marah dengan guru pula! Kita yang dewasa ni pun kalau balik pejabat pukul 5.00 tu dah terbongkang letihnya. Pantang anak bersuara sikit, terus tengking. Anak-anak kita tak ada masa rehat lansung, jauh sekali untuk bermain. Jika tak dihantar ke sekolah agama, aku sendiri pun tak mampu nak mengajarnya, sirahnya, tajwidnya, dan lain-lain lagi. Kalau main tu, kita anggap anak kita buang masa. Ada sesetengah ibu bapa yang hantar anak-anak mereka ke 2, 3 pusat tuisyen.

Aku ada terbaca satu rencana. Kata penulisnya, bermain tu dapat membina 90% keperibadian dan pertumbuhan mental kanak-kanak. Dengan bermain kanak-kanak akan jadi lebih kreatif, berani, cekal, sifat ingin tahu dan lain-lain nilai yang agak sukar untuk kita ajar secara ilmiah. Walaupun ada kegiatan kokurikulum di sekolah, tetapi sejauh manakah keberkesanannya? Mampukan guru-guru yang mengajarnya menerapkan nilai-nilai ini dengan hanya merancang atas kertas!

Kita semua pernah mengalami alam kanak-kanak. Dulu, kita main lastik, buat jerat burung merbah, memancing ikan, kutip buah-buah hutan makan, menimba ikan, main baling kasut dan macam macam lagi. Anak aku sekarang ni kerbau jantan dengan betina pun kena bagitahu, yang mana jantan, yang mana betina. Semua binatang terbang dia kata burung. Kelawar dengan keluang pun tak kenal. BATMAN katanya. Padi kata beras!

Apa pun semua ini adalah tuntutan semasa. Zaman dah berubah. Mahu atau tidak, kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Tetapi kita perlu ingat, alangkah ruginya kita nilai-nilai sepeti itu kita harus korbankan demi menyesuaikan diri dengan keadaan. Sepatutnya kita perlu mencari jalan supaya nilai-nilai tadi tetap kekal dan masa bergerak seiring dengannya
.

Tiada ulasan: