Sabtu, 31 Januari 2009

Hebatnya Bahasa Orang

Semalam ada perhimpunan untuk membantah PPSMI iaitu dasar pendidikan kita. Dasar yang telah disuruh pakai oleh kementerian pendidikan sejak 8 tahun yang lalu. Rasanya semua orang tahu tentang dasar pelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar matematik dan sains.

Ramai juga pejuang bahasa Melayu yang turun untuk sama-sama menunjukkan perasaan "simpati" mereka terhadap bahasa Melayu yang kian "ngayut" (kata cerdik pandai yang mengubah dasar pendidikan tersebut). Bahasa Melayu ini tidak boleh daulatkan sebagai bahasa ilmu kerana kononnya hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh menjadi jambatan untuk menguasai ilmu. Bahasa Melayu juga tidak sesuai untuk dijadikan bahasa perpaduan, sebab itulah bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia. Kadang-kadang aku sendiri pun pening kepala, apabila anak-anak bertanya, yang mana satu betul, nak guna bahasa Melayukah atau bahasa Malaysia. Bahasanya sama tetapi namanya ada dua. Kalau dulu boleh juga tanya Memanda Mamak Maideen, tapi sekarang nak tanya kepada siapa? Haru biru juga pasai nama saja.

Mungkin aku tak ada sarjana dan apa-apa kertas yang mendapat pengiktirafan dari mana-mana universiti, sebab itu rasanya tidak layak untuk memperkatakan tentang bahasa melayu ini. Semua pendapat mestilah daripada cendikiawan dan sarjana bahasa. Aku ni hanya pengguna bahasa melayu ini sebab datuk nenek, ibu dan bapa aku semuanya guna bahasa melayu. Beranak saja terus mak aku cakap bahasa melayu. Bila zaman budak-budak, belajar bahasa siam sikit-sikit(sekarang dah lupa).

Kebanyakkan ilmu ini kalau tak salah akulah berasal daripada dunia Islam. Bahasa yang digunakan kebanyakannya bahasa arab. Sebab itu bahasa yang afdal dipelajari ialah bahasa arab. Orang barat tu ambil ilmu tersebut dan terjemahkan dalam bahasa mereka, ditokok tambah jadi lebih baik dan dapat diterima oleh semua bangsa. Kita cuma bangga dengan tokoh-tokoh ilmuan islam kita sahaja, tetapi tak pun bangga dengan bahasa yang mereka guna.

Kadang-kadang buat kita ketawa orang cerdik pandai ni, bahasa Melayu sebagai bahasa penggantar di sekolah kebangsaan, ajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Di luar pulak terjerit-jerit sampai terkeluar anak tekak suruh memertabatkan bahasa Melayu! Gila ka apa ni! Kacau-bilau betul, macam juga parti yang memerintah sekarang ni. Samalah sebab merekalah yang buat dasar ni!

Kasihan dekat anak-anak Melayu kita. Kerana politik mereka menjadi mangsa. Kesannya 5,6 tahun lagi. "Kunci" kepada kemajuan bangsa itu sendiri telah "dicampak". Adakah dengan berbekalkan gred C dalam matematik dapat ambil jurusan akaunten di IPTA atau IPTS? Matematik dan sainslah yang sangat penting dalam ilmu hari ini. Nak jadi tukang rumah pun kena tahu kira berapa panjang kayu, berapa biji batu-bata. Apalah yang anak-anak kita nak lakukan esok-esok nanti jika ditakdirkan tidak berjaya dalam pelajaran? Nak Kerja buat rumah Indon dah berkenjah, nak kerja pan minyak, Bangla dah berlagak jadi taukeh, nak berniaga tepi jalan, Acheh dan "konker", kerja dekat ladang dan kilang Vietnam penuh. Tak lain tak bukan, jadi peragut dan juga "Mat Rempit" la jawabnya. Terima kasih banyak-banyak kepada pemimpin yang telah banyak berjasa kepada bangsa kita!

Kadang-kadang aku rasa cemburu kepada kawan-kawan bangsa asing. Depa ni boleh sekolah dengan bahasa depa. Belajar matematik dan sains pun ikut masa tertentu guna bahasa Inggeris dan yang lebihnya bahasa depa. Bertutur dengan bahasa depa, tak dak dok kempen merata-rata. Jadi, apa yang lebihnya bangsa melayu kita.

Betul la juga, soalan periksa buat dalam dwi-bahasa, tetapi semuanya kerja ni gila! Bercempera merata dalam kepala anak-anak kita! Jadi keliru, penuh caca-merba, ibarat atas kepala penuh reba. Bila jadi macam ni nak disalahkan siapa? Pemimpin kata salah mak bapa la, kenapa tak dipantau anak-anak hampa, sebab tu jadi tak ketahawan hala! Yang mak bapa ni pun tak tau nak kata apa, anak-anak dah bercempera, semua pakat-pakat terlopong, ternganga...........

Tiada ulasan: